Sang Komposer
Fauzi Marzuki gubah lagu dalam kapal terbang
Aini Roshidah Ahmad Mawawi
3 Disember 2017
NAMA komposer Fauzi Marzuki sememangnya tidak asing lagi bagi dunia seni hiburan tanah air era 1990-an. Lagu-lagu ciptaannya bukan sahaja mendapat tempat di hati peminat muzik bahkan lagu-lagu tersebut juga telah menaikkan nama ramai artis-artis popular.
FAUZI MARZUKI
Buktinya lagu-lagu ciptaannya seperti Pusara di Lebuhraya, Jejaka Idaman, Kekasih Awal dan Akhir masih lagi menjadi siulan sehingga ke hari ini. Berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Pancaindera berpeluang berkongsi kisah kehidupan lelaki yang berasal daripada Kuala Lumpur ini.
Komposer berusia 62 tahun ini mengakui minatnya dalam muzik bermula ketika usianya mencecah 14 tahun. Waktu itu dia sudah pun berminat bermain gitar sambil mencipta lagu. Bersama rakan-rakan seusianya mereka sering menghabiskan waktu petang dengan berkumpul sambil menyanyi di kawasan perumahan di kuarters Bandaraya, Cheras.
“Masa tu lagu pertama yang saya gubah berjudul Di Malam Sepi. Seingat saya bila lagu tu siap, saya menyanyikannya di hadapan rakan-rakan. Waktu tu yang ada cuma sebuah gitar kapak sahaja. Rakan-rakan lain pula ambil kotak dan jadikan ia sebagai dram.
“Setiap kali ada masa terluang itulah aktiviti utama. Kami tidak berapa suka melepak tak tentu hala waktu tu. Di sekolah pula, jika ada persembahan nyanyian dan sebagainya pasti nama saya terpilih untuk ke hadapan. Jadi tidak hairanlah ketika itu saya sudah pun digelar penyanyi oleh rakan satu sekolah,” ujarnya.
Mula mengenali muzik
Tambah bekas pelajar Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur ini, ketika itu dia mengikuti kumpulan muzik yang dikenali sebagai Electric Organism. Bermula dengan kumpulan tersebut dia mula berjinak-jinak dengan muzik.
“Saya berpeluang bermain muzik di kelab Tomorrow Disco yang terletak di Merlin Hotel yang mana sekarang ini dikenali sebagai Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya pernah mengikuti kelab dangdut Tropicana yang diketuai oleh Tom Anuar yang merupakan anak kepada AR Tompel.
“Dalam tahun 1975, banyak kumpulan yang berpecah dan daripada situ kami kumpul ahli dan menubuhkan kumpulan yang diberi nama Discovery. Bersama Discovery, kami diberi kesempatan untuk membuat album pertama dengan syarikat EMI Music.
“Paling menyeronokkan, lagu pertama ciptaan saya yang berjudul Di Malam Sepi ketika usia 14 tahun dimuatkan dalam album pertama kumpulan Discovery. Ketika itu bermulanya perubahan industri muzik daripada penyanyi solo kepada penyanyi berkumpulan. Kami merupakan antara kumpulan yang terawal dan diikuti oleh carefree dan sebagainya,” ujarnya mengimbau perjalanan seninya.
Walau bagaimanapun album bersama kumpulan Discovery tidak memberangsangkan. Setahun bersama EMI sebagai artis akhirnya kumpulan tersebut berpecah. Pada tahun 1983, dia ditawarkan menjadi pengurus artis bahagian Melayu di syarikat rakaman tersebut.
Daripada penyanyi ke komposer
Kerjaya sebagai komposer bermula ketika dia menjadi pengurus artis di EMI. Waktu itu banyak artis yang memerlukan lagu. Disebabkan lagu yang diberi tidak mencapai piawaian yang saya inginkan maka saya sendiri terpaksa mencipta lagu buat mereka.
“Kalau nak diikutkan saya sebenarnya terpaksa membuat lagu ini. Saya tak nak artis di bawah saya menyanyikan lagu-lagu yang tidak sesuai. Antara artis yang berada di bawah jagaan saya ketika itu adalah Sudirman, Noorkumalasari, Aman Shah, Raja Ema, Sharifah Aini dan ramai lagi,” ujarnya yang berkhidmat dengan EMI sehingga tahun 1992.
Pada tahun 1992 menyaksikan namanya muncul sebagai komposer yang mula mendapat perhatian apabila dia meraih tiga anugerah besar iaitu Juara Lagu 1992 dan Pujaan 10 Nescafe. Antara lagu sentuhannya yang mendapat tempat di hati para juri ketika itu ialah Pada Syurga Di Wajahmu, Kekasih Awal dan Akhir serta Di Alam Fana Cinta.
“Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 1993 saya mula bergelar komposer bebas. Bergerak sendiri lebih mudah serta bebas untuk berkarya tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Ketika itu, setiap lagu ciptaan saya akan diberikan kepada penyanyi yang spesifik dan mampu membawa lagu tersebut dengan baik sahaja.
“Jika sesetengah komposer mungkin ada cara tersendiri untuk mencipta lagu namun bagi diri saya, setiap kali ingin mencipta lagu, saya terlebih dahulu akan mengkaji ciri-ciri artis tersebut. Tidak memerlukan waktu yang lama untuk menghasilkannya. Paling cepat saya akan menyiapkannya dalam masa 15 minit sahaja,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya saat mencipta lagu adalah ketika dia mencipta lagu Jejaka Idaman nyanyian Raja Ema. Waktu itu dia berada dalam kapal terbang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bersama penyanyi Herman Tino.
“Bila masuk sahaja dalam kapal terbang tiba-tiba melodi dan lirik lagu tersebut muncul dalam fikiran saya. Masa tu memang saya dapat rasakan ia kena dengan Raja Ema sebab lagu tersebut berentak gembira sesuai dengan usianya yang muda remaja waktu itu. Bila mendarat sahaja di Kuala Lumpur lagu tersebut berjaya disiapkan dan hari itu juga buat rakaman.
“Itu merupakan lagu yang tidak dapat saya lupakan kerana idea tersebut datang tidak semena-mena. Selain daripada lagu Jejaka Idaman, lagu Kekasih Awal dan Akhir serta Lagenda merupakan dua buah lagu yang paling dekat di hati saya. Sehingga ke hari ini saya rasa masih lagi tidak mampu untuk menghasilkan lagu seperti itu.
“Sejak terlibat dalam bidang ini, saya juga telah mencipta lebih daripada 500 buah lagu. Dalam jumlah tersebut kira-kira 100 buah lagu masih lagi aktif diputarkan dan saya masih lagi menerima royalti melalui lagu tersebut,” ujarnya.
Perkembangan terbaru
Lebih 30 tahun dalam dunia muzik, dia masih lagi terus berkarya dan akan terus menyumbangkan hasil kepada dunia seni tanah air sehingga ke akhirnya. Masih lagi mencipta lagu di atas permintaan namun dia mengakui hari ini dunia seni agak berbeza daripada sebelumnya.
“Jika dahulu artis-artis bernaung di bawah syarikat rakaman dan mana-mana komposer bebas untuk mencipta lagu baut mereka tetapi hari ini kebanyakan artis mempunyai komposer tertentu yang akan mencipta lagu buat mereka.
“Terbaru saya baru sahaja siap mencipta lagu untuk Rahimah Rahim dan Jamal Abdillah. Selain itu saya juga sedang fokus untuk mengetengahkan bakat anak sulung saya, Nadia dalam bidang nyanyian. Lagu yang bakal diketengahkan berentak elektro-pop yang lain daripada lain sebab saya inginkan kelainan untuk dia.
“Ini merupakan salah satu projek terbesar saya sekarang. Saya lihat bakat seni dalam diri dia sejak dia kecil lagi. Dalam masa yang sama saya ingin dia menyanyikan beberapa buah lagu popular yang pernah saya cipta suatu ketika dahulu namun dengan cara yang berbeza,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
utusan online
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mimbarkata.blogspot.com/2019/03/sang-komposer.html