Sambutan Terhadap Gerakan Tanah Air Memberangsangkan Rakyat Yakin Tun Dr M
SHAH ALAM - Sambutan terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) amat memberangsangkan dan berlaku dengan sangat pantas dalam kalangan orang Melayu.
Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, usaha untuk mempromosikan GTA juga amat mudah kerana ramai daripada orang Melayu menunjukkan minat yang tinggi dan yakin dengan wadah perjuangan gabungan itu.
"Dalam erti kata lain, sambutan daripada masyarakat akar umbi serta pengundi atas pagar amat hangat. Agenda perjuangan untuk memperkasakan semula kedudukan orang Melayu dan dalam masa sama menghormati hak bangsa asing disenangi oleh semua pihak.
"Kini ramai daripada rakyat jelata khususnya orang Melayu menghubungi kami untuk melibatkan diri dengan GTA. Suatu masa dahulu untuk kami mencari keahlian bagi parti politik, kena kerja kuat di lapangan.
"Tetapi kini berlaku di sebaliknya iaitu masyarakat akar umbi yang datang secara sukarela dan ikhlas kepada kami bagi menawarkan sokongan membantu wadah perjuangan GTA," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kaum lain juga juga amat yakin dengan kepimpinan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus menjadi faktor gabungan itu mendapat tempat di hati rakyat.
"Orang Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum lain amat selesa dengan wadah perjuangan GTA, yang tidak bercorak ekstrim ataupun berbau perkauman. Dr Mahathir juga memimpin negara berteraskan agenda memperkasakan bangsa Melayu tetapi prinsip menjaga kepentingan hak-hak kaum lain di negara kita tetap utuh.
"Di era kepimpinan Melayu yang stabil selama 22 tahun suatu masa dahulu ketika negara ditadbir urus oleh Dr Mahathir, keseluruhan bangsa asing hidup makmur dalam pelbagai sektor khususnya bidang ekonomi.
"Kepimpinan Dr Mahathir yang cukup adil serta saksama pada waktu itu membuatkan bangsa asing yakin dengan kepimpinan beliau sehingga kini. Sebab itu, bila Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu keseluruhan bangsa asing tidak curiga dengan pendirian tersebut," katanya.
Beliau juga percaya majoriti daripada masyarakat atas pagar sudah hilang keyakinan dengan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dan satu pertubuhan baharu amat diperlukan bagi menyelamatkan negara daripada terus hancur.
"Tokoh-tokoh 'Melayu baik' amat diperlukan bagi melawan 'Melayu jahat' yang korup serta salah guna kuasa sehingga membebankan negara dan berada di ambang kehancuran.
"Masyarakat Melayu terus meminta GTA menebus semula maruah Melayu, memperkasakan kembali kedudukan Melayu dalam segenap segi, memerangi rasuah sehingga akar umbi serta membina semula 'Malaysia Baharu' sehingga diiktiraf kembali sebagai kuasa 'Harimau Asia'," katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2022/09/sambutan-terhadap-gerakan-tanah-air-gta.html