Rakyat Akan Marah Jika Najib Dibebaskan Tun M
agendaily.com28/08/2022
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak boleh dibebaskan dengan pengampunan Agong tetapi rakyat akan marah.
Rakyat akan kecewa sekiranya Datuk Seri Najib Razak yang dihukum penjara atas kesalahan rasuah akan dibebaskan, walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk berbuat demikian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada masa sama beliau berkata jika hukuman memenjarakan bekas Perdana Menteri keenam itu dianggap satu penganiayaan maka Malaysia tidak memerlukan mahkamah untuk membicarakan sebarang kesalahan.
“Kalau kita tanya orang ramai, kalau Najib dibebaskan, setelah mencuri berbilion-bilion ringgit, menipu, bercakap bohong, orang macam ini dilepas, dibebas, akan kecewalah rakyat.
“Mahkamah buat keputusan selepas mendengar kes selama empat tahun, bukan satu mahkamah, tetapi tiga mahkamah dan sembilan hakim. Mereka buat keputusan berasaskan bukti-bukti jelas yang ditunjukkan di mahkamah.
“Tetapi yang dijawab (Najib), semua ini tidak betul, semua ini bohong, (jika begitu), kita tak payah ada mahkamah,” katanya menambah, ketiga-tiga mahkamah memberi pendapat yang sama, tetapi Najib tidak mengiktiraf keputusan mereka.
“Kalau ini menganiaya dia, kita tak payah ada mahkamahlah, sampai empat tahun bicara, tiga mahkamah, sembilan hakim, pendapat tiada satu pun yang berlainan,” katanya kepada media selepas program Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Puteh, Ipoh, malam tadi.
Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali berkata banyak bukti telah dikemukakan di mahkamah sepanjang empat tahun ini yang akhirnya membuktikan Najib bersalah.
Memetik BH beliau berkata pembebasan Najib bukan perkara mustahil kerana masih mempunyai peluang melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Sama ada nak bebaskan Najib, itu terpulang kepada dialah, bukan saya yang tentukan. Langkah pertama ialah Perdana Menteri mesti mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa saja keputusan,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia yang melangkah masuk ke penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikenakan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Baharu sahaja dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos lalu, UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai ahli parti itu terus mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memohon pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, ada juga pihak lain, terutama Bersih memulakan petisyen dalam talian meminta Agong tidak memperkenankan pengampunan kepada bekas Presiden UMNO itu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/08/rakyat-akan-marah-jika-najib-dibebaskan.html