Saksi Dedah Najib Keluarga Bercuti Naik Kapal Layar Atas Jemputan Putera Kuwait
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Najib Razak dan ahli keluarganya telah bercuti atas kapal layar ke selatan Perancis, perairan Greece dan Itali sejak 2009 hingga 2013 atas jemputan Putera Kuwait, Putera Saudi dan Putera Abu Dhabi.
Bekas pegawai khas kepada Najib, Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, 48, berkata setiap maklumat berkaitan destinasi percutian itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, pada Ogos 2009, beliau telah dihubungi oleh Jho Low dan memaklumkan bahawa Najib sekeluarga akan bercuti di selatan Perancis atas jemputan seorang Putera Kuwait dan seorang sahabatnya bernama Syeikh Hamed di atas kapal layar milik mereka iaitu RM Elegance.
Wan Ahmad Shihab berkata, Jho Low juga telah memberikannya nombor telefon seorang lelaki bernama Mr Sahle untuk membuat persiapan percutian itu.
Beliau kemudian mengesahkan perkara tersebut dengan Najib sebelum menghubungi Mr Sahle untuk memberikan maklumat rombongan percutian tersebut termasuk senarai nama keahlian rombongan, tempoh percutian dan segala keperluan yang diperlukan di sana.
“Percutian tersebut turut disertai oleh Rosmah Mansor, anak-anak beliau iaitu Nor Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Shahriz Abdul Aziz. Selain itu terdapat juga kawan-kawan Najib termasuk Bustari Yusuf dan seorang anaknya.
“Jumlah keseluruhan peserta rombongan percutian tersebut adalah lebih kurang 20 orang termasuk pegawai pengiring serta pembantu rumah,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Ketika menceritakan lebih lanjut mengenai percutian di Selatan Perancis itu, Wan Ahmad Shihab berkata pada hari kedua atau ketiga pelayaran, Najib telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat seorang Putera Saudi berada di sebuah kapal lain yang berdekatan dan beliau telah menjemput Najib sekeluarga untuk minum petang di atas kapal mereka.
“Saya kemudian telah memaklumkan kepada Mr Sahle untuk menyediakan bot kecil untuk kami pergi ke kapal Putera Saudi tersebut. Seingat saya nama Putera Saudi tersebut adalah Putera Turki.
“Setibanya kami di kapal tersebut, kami telah disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid,” katanya sambil menambah beliau tidak tahu apa tujuan pertemuan tersebut dan ketika beliau masuk ke ruang tamu kapal itu, beliau mendapati Jho Low telah berada dalam kalangan mereka.
Menceritakan mengenai percutian kedua iaitu di perairan Greece dan Itali pada pertengahan 2010, Wan Ahmad Shihab berkata Jho Low memberitahunya bahawa seorang Putera Saudi menjemput Najib dan keluarganya untuk bercuti di atas kapal layarnya sebelum memberikan nombor telefon kapten kapal Mike Hitch.
“Rombongan tersebut disertai lebih kurang 17 orang termasuk Najib, Rosmah, Riza Shahriz, Nooryana Najwa, Nor Ashman, saya sendiri, pegawai-pegawai pengiring serta seorang rakan Najib. Setibanya di Athens, Greece, kami telah disambut oleh Mike Hitch dan terus dibawa menaiki kapal Golden Odyssey.
“Setibanya kami di atas kapal tersebut, saya dapati Bustari dan beberapa kenalan Najib yang lain telah berada di atas kapal tersebut. Mereka juga hadir sebagai ahli rombongan percutian tetapi mereka menaiki penerbangan komersial yang mereka uruskan sendiri dan tiba sehari lebih awal di situ,” katanya.
Mengenai percutian itu, saksi berkata pada hari kelima pelayaran di atas kapal Golden Odyssey, beliau telah dihubungi oleh seorang wanita bernama Natasha iaitu rakan kepada Rosmah melalui SMS dan menanyakan maklumat di mana kapal akan berada sekiranya sampai di Rome kerana beliau (Natasha) ingin membawa beberapa orang tetamu untuk berjumpa dengan Rosmah.
“Saya terus memaklumkan Natasha melalui e-mel mengenai lokasi kapal akan berlabuh apabila berada di Rome dan saya juga memberikan nombor kapten Mike Hitch untuk beliau berhubung terus. Setelah kapal berlabuh di Rome, selang sehari selepas itu saya ternampak Natasha telah berada di atas kapal bersama dengan Rosmah.
“Saya tidak begitu mempedulikan beliau kerana saya tidak begitu mencampuri urusan Rosmah. Di penghujung lawatan tersebut, saya telah pulang dahulu ke Malaysia dengan menaiki pesawat komersial dari Lapangan Terbang Cote D’azur, Nice, Perancis kerana saya ada urusan persendirian yang perlu saya uruskan,” katanya.
Mengenai percutian pada 2013, Wan Ahmad Shihab berkata Najib sekeluarga telah dijemput untuk bercuti di Selatan Perancis di atas kapal layar Topaz milik Sheikh Mansour, seorang Putera dari Abu Dhabi, yang turut kelihatan adalah Mohamed Badawy Al-Husseiny iaitu pengarah syarikat Aabar Investments PJS bersama Robert Baker, seorang jurulatih golf profesional.
Wan Ahmad Shihab berkata pada malam itu seorang yang dikenali sebagai Robert Shepherd memaklumkan bahawa beliau sedang bersiap menyambut Riza Aziz untuk datang ke kapal Topaz dan semasa Riza Aziz tiba di kapal Topaz, beliau mendapati Jho Low dan Joey McFarland (producer filem Wolf Of Wall Street) turut serta bersama dengan Riza Aziz.
“Saya tidak tahu apa tujuan Jho Low dan Joey McFarland hadir bersama tetapi saya menganggap mereka hadir untuk bersama-sama menikmati percutian tersebut. Sepanjang Jho Low dan Joey McFarland berada di atas kapal tersebut, saya nampak hampir setiap masa mereka sentiasa bersama dan kedengaran perbualan mereka banyak tertumpu berkaitan pembikinan filem untuk Hollywood,” katanya.
Wan Ahmad Shihab berkata tiada sebarang pembayaran penginapan dikenakan terhadap ketiga-tiga percutian itu kerana Najib dan keluarganya bercuti atas jemputan.
Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2022/05/saksi-dedah-najib-keluarga-bercuti-naik.html