Sabah Semangat Ingin Julang Piala Di Shah Alam Esok
Sekiranya skuad Tambadau berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan itu, mereka bakal dinobat sebagai juara, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi. Sabah idam julang piala di Shah Alam esok
Kejayaan layak ke Liga Super menyemarakkan lagi semangat Sabah untuk memastikan kejuaraan Liga Perdana musim ini menjadi milik mereka apabila bertandang ke Shah Alam bertemu UiTM FC, malam esok. Pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) seterusnya mengesahkan tempat di Liga Super, tempoh hari, skuad bimbingan Jelius Ating itu semakin bersemangat untuk menjulang trofi Liga Perdana musim ini.
"Pertemuan dengan JDT II di Pasir Gudang, Jumaat lalu, umpama perlawanan akhir bagi menentukan tempat ke Liga Super dan kita akhirnya menang seterusnya menamatkan penantian tujuh tahun pasukan Sabah untuk kembali ke saingan utama bola sepak negara itu.
"Menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam esok juga umpama satu lagi perlawanan akhir dan kita mahu memenanginya untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Peter berkata, pemain perlu memberikan persembahan terbaik dengan berjuang habis-habisan untuk memburu kemenangan, seperti mana yang dipamerkan pada aksi bertemu JDT II lalu.
"Kelebihan kini memihak kepada kita dengan memiliki tiga peluang dari baki tiga perlawanan untuk merangkul gelaran juara dan kita tentunya mahu memanfaatkan peluang ini terutama dengan pasukan kini di tahap terbaik dan bersemangat tinggi.
"Kita akan beraksi tanpa tiga pemain utama termasuk dua import tetapi saya yakin siapapun yang diturunkan mampu menggalas tugas yang diberikan dan saya juga percaya barisan jurulatih sudah ada perancangan terbaik untuk menyelesaikan misi esok," katanya.
Pengurus Pasukan Sabah, Datuk Peter Anthony bersama pemain Sabah meraikan kemenangan mereka menewaskan pasukan JDT II 1-0 pada perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium Pasir Gudang Johor, 6 Julai.
Pada aksi esok, skuad Tambadau akan turun tanpa tiga pemain utama iaitu dua pemain import, Park Taesu dan Ahmet Atayev serta Randy Baruh Samson selepas kesemua mereka digantung perlawanan gara-gara jumlah kad kuning yang dikumpul.
"Saya juga merayu kepada penyokong Tambadau terutama yang ada di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk datang beramai-ramai memberi sokongan moral kepada pasukan sebagaimana diberikan mereka di Pasir Gudang," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2019/07/sabah-semangat-ingin-julang-piala-di.html