Rumah Hantu Paling Seram Mental Pengunjung Diseksa Teruk Hingga Perlu Bantuan Psikiatri
“Saya akan mati kat sini,” fikir Milligan setelah melalui pengalaman menakutkan di rumah hantu McKamey Manor (MM) di Tennessee, Amerika Syarikat.
Kemasukan percuma. Tetapi pengunjung akan ditapis dan perlu mengisi dokumen tertentu sebelum dibenarkan menyertai cabaran berkenaan (di akhir artikel). Hasil saringan akan menentukan jenis ujian yang diberi – ketakutan terbesar mereka.
Pengunjung yang takutkan badut akan diganggu badut manakala mereka yang takut lemas akan ‘dilemaskan’ dengan simulasi serupa.
Mereka akan dicabar secara mental dan fizikal sehingga berputus asa.
“Saya hampir lemas. Rambut saya melilit leher dan saya rasa amat takut. Saya beritahu mereka saya tak dapat nafas, mereka hanya ketawa dan terus melakukannya,” tambah Milligan, peserta yang didakwa pernah diikat dan ditutup muka dengan kain sebelum disiram air (waterboard) serta dikurung di dalam keranda pada 2015.
Contoh pelaksanaan ‘waterboard’. (Kredit: The Sun)
Bukan rumah hantu, tapi tempat penyeksaan dalam penyamaran
Disifatkan terlalu ganas, ramai pengunjung yang mendakwa rumah hantu tersebut sebagai rumah penyeksaan. Sekurang-kurangnya 89,000 orang telah menandatangani petisyen setakat Oktober ini bagi menggesa penutupan rumah hantu berkenaan.
“Mereka mencari orang yang paling lemah dan mudah dimanipulasi melalui saringan untuk menyertai cabaran. Jika Russ (pemilik McKamey) rasa anda tak mudah dimanipulasi, anda tak akan dibenarkan pergi. Dia menggunakan kelompongan untuk mengelak dari ditahan.
Milligan mendakwa babak paling kejam diedit buang daripada video Youtube yang dikongsikan MM. (Gambar: Mirror.co.uk)
“Seorang lelaki diseksa dengan teruk sehingga pengsan beberapa kali. Pekerja hanya berhenti kerana berfikir mereka telah membunuhnya,” kata Frankie Towery pada bahagian deskripsi petisyen tersebut.
Gerakan tersebut turut mendakwa terdapat kes serangan seksual di dalam rumah hantu itu di mana pekerjanya terdiri daripada mereka yang pernah mempunyai sejarah ganas dan merupakan pesalah seksual. Selain itu dakwa kenyataan tersebut, peserta turut disuntik halusinogen.
“Ia sememangnya rumah penculikan dan penyeksaan. Ada peserta yang terpaksa mendapatkan bantuan psikiatri serta perubatan kerana kecederaan yang teruk. Saya mencadangkan semua lokasi yang menjalankan aktiviti ini ditutup serta merta.”
Simulasi penyeksaan yang melampau. (Kredit: Google)
“Saya rasa ia lucu”
Kata Russ McKamey, pemilik rumah hantu tersebut mendakwa mereka tidak melanggar undang-undang serta segala tuduhan tersebut adalah tidak benar.
“Ia adalah harta peribadi saya dan ia sesuatu yang saya suka lakukan. Hanya kerana saya mempunyai hobi pelik ini, orang menjadi marah. Mereka tak akan tutup rumah ini,” katanya seperti dilaporkan People.
Walaubagaimanapun dia tidak menjelaskan bahagian mana yang menjadi ‘harta peribadinya’ kerana lokasi permainan tersebut merangkumi jarak yang berbatu-batu dan merentasi sempadan negeri.
Lokasi cabaran itu bermula di Summertown ,Tennessee dan berakhir di Huntsville, Alabama dengan jarak 70 batu (kira-kira 112 kilometer).
“Anda perlu gunakan akal. Jika penyeksaan berlaku sebagaimana mereka fikirkan, saya dah masuk penjara sekarang,” katanya.
Menurut Russ, dia menggunakan teknik pukau atau hipnotis untuk memberi tekanan kepada mental pengunjung dan membuatkan mereka percaya apa sahaja yang diinginkannya.
“Itu senjata rahsia saya.”
Russ yang mendakwa telah membelanjakan USD$ 1 juta (bersamaan kira-kira RM4.17 juta) bagi tarikan berkenaan dan menawarkan ganjaran sebanyak USD$ 20,000 (kira-kira RM83,310) bagi sesiapa yang berjaya bertahan sehingga ke penghujung cabaran.
Tiada siapa berjaya bertahan.
Ibarat babak filem seram. Kredit: Google
Syarat penyertaan;
Berusia 21 tahun ke atas. Mereka yang berusia 18-20 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa.
Mempunyai fizikal sukan serta laporan perubatan menyatakan sihat fizikal dan mental.
Melepasi pemeriksaan latar belakang oleh MM.
Disaring melalui temuduga video FB atau telefon.
Bukti insuran perubatan.
Menandatangani surat persetujuan 40 muka surat. Anda boleh baca sebahagian dokumen perjanjian di sini.
Lulus ujian dadah pada hari cabaran.
Rumah hantu ini menerima banyak kecaman, namun tak kurang juga ada yang menyokong permainan ini dengan dakwaan peserta yang menandatangani perjanjian itu sendiri ‘mencari cabaran dan trauma’.
Biarpun menerima kecaman, Russ mengakui menerima permintaan daripada 27,000 orang yang berminat untuk menyertai permainan tersebut.
Sumber: PEOPLE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/11/02/video-rumah-hantu-paling-seram-mental-pengunjung-diseksa-teruk-hingga-perlu-bantuan-psikiatri/