Rukun Haji
Rukun Haji
1. Ihram (Berniat mengerjakan Haji)
Sebagaimana diketahui, maksud ihram berniat mengerjakan haji. Oleh itu, niat adalah rukun asas bagi rukun- rukun haji sebagaimana rukun-rukun solat
2. Wuquf di 'Arafah
Rukun ini berdasarkan hadith sahih,
الحَجُّ عَرَفَةُ، مَنْ جَاءَ لَيْلَةَ جَمْعٍ قَبْلَ طُلُوعِ الفَجْرِ فَقَدْ أَدْرَكَ الحَجَّ
(Riwayat Abu Daud dan yang lainnya)
Yang bermaksud: Haji itu ialah 'Arafah. Sesiapa yang datang ke 'Arafah pada malam perhimpunan sebelum fajar terbit bererti dia dapat 'ibadat haji tersebut
Justeru wuquf di 'Arafah merupakan teras utama bagi seluruh 'amalan haji, seolah-olah ibadat haji itu hanya semata-mata di 'Arafah. 'Arafah ialah nama bukit yang berbanjar ke Mina, kira-kira 25 kilometer ke tenggara Makkah
Syarat wuquf di 'Arafah
Wuquf di 'Arafah mempunyai syarat-syarat yang tertentu, iaitu:
a. Wuquf hendaklah dalam tempoh waktu Zuhur hari yang kesembilan Zulhiijah hingga fajar terbit pada hari raya qurban. Ini bererti, seseorang yang wuquf di 'Arafah sebelum atau selepas tempoh tersebut hajinya tidak sah
Dalam hal ini, memadai berada di 'Arafah seketika daripada tempoh wuquf tersebut, sama ada siang ataupun malam. Namun afdhal menghimpunkan kedua-dua bahagian siang dan malamnya. Justeru sesiapa yang meninggalkan 'Arafah sebelum matahari terbenam dia sunat menyembelih binatang ternakan sebagai dam disebabkan berlainan daripada perbuatan Rasulullah
b. Wuquf di tempat yang dikehendaki di kawasan 'Arafah. Tidak memadai wuquf di 'Urnah yang bersetentangan dengan sempadan 'Arafah yang ditandai dengan batu-batu besar. Lakukanlah solat Maghrib dan 'Isya' secara jama' semasa perjalanan balik ke Mina kerana menurut perbuatan Rasulullah, dan baginda menyuruh berbuat demikian
3. Tawaf Ifadhah
Tawaf Ifadhah berdasarkan firman Allah:
وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيق…
(Surah al-Hajj: 29)
Yang bermaksud: “...dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Ka'bah) yang tua sejarahnya itu.”
Begitu juga perbuatan Rasulullah sebagaimana yang tersebut dalam hadith Jabir yang diriwayatkan oleh Muslim
Syarat sah tawaf
a. Hendaklah mempunyai semua syarat sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadath besar dan kecil, suci daripada najis, sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf, dan menutup 'aurat
Hal ini berdasarkan hadith,
yang bermaksud: Daripada Nabi sabdanya, "Tawaf adalah sebagaimana solat, kecuali Allah membenarkan perbualan ketika tawaf. Sesiapa yang berbual-bual hendaklah perkara yang baik-baik.”
b. Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan janganlah termasuk ke dalam sempadan Ka'bah. Justeru hendaklah tawaf di luar kawasan Hijir Ismail kerana ia juga termasuk di dalam kawasan Ka'bah, dan tidak harus tawaf di dalamnya. Hijir Ismail ialah dinding yang rendah dalam bentuk setengah bulatan yang terletak di kawasan sebelah utara Ka'bah
c. Tawaf hendaklah dimulakan dari Hajar Aswad dengan Ka'bah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut. Hal demikian ini, mengikut perbuatan Rasulullah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith sahih
d. Hendaklah menyempurna tawafnya sebanyak 7 kali keliling
4. Sa'ie di antara Sofa dan Marwah
Sofa dan Marwah merupakan dua buah bukit yang berhampiran dengan Kaabah, manakala sa’ie di antara kedua-duanya bermaksud berjalan dari Sofa ke Marwah dan sebaliknya sebanyak 7 kali, iaitu dari Sofa ke Marwah dikira sekali, dan dari sebaliknya dikira sekali, dan begitulah seterusnya
Syarat sa'ie
a. Sa’ie dilakukan selepas tawaf, sama ada selepas tawaf Qudum atau tawaf Ifadhah. Tawaf Qudum sunat dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji apabila sampai di Makkah. Sementara tawaf Ifadhah pula ialah tawaf rukun. Hal ini berdasarkan perbuatan Rasulullah yang menunjukkan demikian
b. Sa’ie adalah sebanyak 7 kali perjalanan yang bermula dari bukit Sofa dan berakhir di bukit Marwah. Setiap perjalanan di antara kedua-duanya dikira sekali
c. Hendaklah melalui laluan di antara Sofa ke Marwah. Sekiranya tertinggal atau terkurang, maka perjalanan tersebut tidak sah. Justeru orang yang bersa'ie wajib merapatkan tumitnya ke kaki bukit Sofa dan berjalan dari situ menuju ke bukit Marwah. Sebaik sampai di situ wajib pula menemukan jari-jari kakinya ditebing bukit tersebut dan begitulah seterusnya
d. Ketujuh-tujuh kali perjalanan tersebut hendaklah dilakukan secara berturut-turut. Sekiranya terpisah agak lama pada tanggapan umum sa'ie hendaklah dilakukan semula
5. Bercukur
Maksud bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. la termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. la merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam mazhab Imam Syafi'i. Hal ini berdasarkan perbuatan Nabi sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dan yang lainnya
Syarat bercukur
a. Jangan bercukur mendahului waktunya. Waktu bercukur adalah selepas tengah malam Raya Qurban. Sesiapa yang bercukur sebelum waktu tersebut adalah berdosa, dan wajib membayar fidyah
b. Jangan kurang daripada tiga helai rambut, sama ada bercukur atau bergunting. Hal ini menurut pendapat yang sahih berdasarkan firman Allah tentang orang yang beriman:
…مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ…(Surah al-Fath:27)
Yang bermaksud: “...dan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) mengunting sedikit rambutnya,…”
Perkataan kepala dalam ayat tersebut bermaksud rambut. Hal demikian ini kerana kepala tidak boleh dicukur. Begitu juga perkataan rambut (الشعر) ialah kata jama', dan sekurang-kurangnya tiga helai
c. Rambut yang dicukur hendaklah di bahagian kepala. Justeru tidak memadai mencukur rambut pada janggut, misai dan sebagainya. Bagi kaum wanita, ijma' ulama' menyatakan bahawa mereka hanya disuruh bergunting dan tidak disuruh bercukur
Perhatian
Mereka yang tidak mempunyai rambut sunat melalukan pisau cukur di atas kepalanya
6. Tartib
Sebahagian besar rukun ini mestilah dilakukan secara tartib, iaitu ihram, wuquf di 'Arafah, tawaf, dan sa’ie. Sementara bercukur boleh dilakukan selepas atau sebelum tawaf
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.mreena.com/2019/07/rukun-haji.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+ReenaSidek+%28REENA+SIDEK%29