Rosmah Harus Selalu Ada Di Sisi Najib Barulah Fitnah Dan Mainan Persepsi Boleh Dielakkan
Malam semalam, setelah sekian lama, adalah julung kali Rosmah Mansor menampilkan dirinya secara terbuka dalam majlis awam bersama orangramai untuk mengiringi suaminya, Najib Razak.
Beliau membuat penampilan itu dalam majlis rumah terbuka sempena hari raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Gombak yang turut dihadiri Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi serta ramai pimpinan parti yang lain.
Sebelum ini, sebaik kekalahan BN pada 2018 lalu, Rosmah boleh dikata tidak lagi membuat kemunculan terbuka mengiringi suaminya di program-program bersama orangramai sebagaimana yang biasa dilakukannya ketika Najib masih memegang jawatan Perdana Menteri.
Lantaran itu, sejak tidak bergelar Perdana Menteri, Najib selalu dilihat muncul bersendirian, tidak kira dalam apa majlis atau program terbuka apa pun yang dihadirinya.
Sebaliknya, Rosmah hanya sesekali kelihatan ada bersama Najib dalam majlis rasmi seperti berbuka puasa dan jamuan hari raya di Istana Negara saja misalnya.
Tidak dapat dipastikan mengapa Rosmah tiba-tiba memilih untuk hadir bersama Najib pada majlis rumah terbuka UMNO Gombak malam semalam, tetapi rata-rata ahli UMNO dilihat gembira dengan kehadiran beliau itu.
Terutama di tengah-tengah penyebaran sekeping gambar Najib baru-baru ini yang belum disahkan kesahihannya yang menperlihatkan seolah-olah beliau mempunyai keluarga baru, kehadiran Rosmah pada malam semalam dengan sendirinya telah berjaya menutup cerita tersebut daripada terus dibualkan.
Apalagi Najib dan Rosmah kelihatan sangat mesra dan dilihat selalu tersenyum bersama, suatu keadaan yang memperlihatkan hubungan mereka masih utuh serta bahagia.
Cerita mengenai Najib kononnya sudah berkahwin lain sebenarnya sudah lama kedengaran dan menjadi percakapan ramai, terutama di kalangan kelompok UMNO.
Antara sebabnya, memang begitulah lumrah dalam masyarakat Melayu, adalah kerana Najib sering muncul sendirian dan tiada lagi kelihatan Rosmah mendampingi beliau di sisinya.
Jika sejak dulu Rosmah sentiasa ada bersama Najib, percayalah, tidak mungkin ada yang berani menyebar berita atau membawa mulut mengatakan bekas Perdana Menteri itu ada isteri yang lain selain daripadanya.
Harus difahami, Najib bukan saja mempunyai musuh politik di luar UMNO, tetapi juga di dalam UMNO dan sudah tentu popularitinya merupakan ancaman buat mereka.
Di dalam UMNO, kecuali Ismail Sabri Yaakob yang sudah duduk sebagai Perdana Menteri yang mungkin tidak merasa terancam dengan populariti Najib, yang lain-lain yang sedang mengidam kedudukan di puncak kuasa tentu saja gelisah dengan popularitinya itu serta kemungkinan beliau mampu muncul semula menggenggam kuasa.
Bermula sekarang dan masa-masa mendatang, di sebalik mungkin ada lagi cerita-cerita tidak enak lain disebarkan selepas ini, jalan terbaik jalah Rosmah harus sentiasa ada di sisi Najib.
Dengan beliau sentiasa ada bersama Najib, bukan saja fitnah dapat dikekang, malah mainan persepsi yang bertujuan mengganggu populariti Najib juga boleh dielakkan.
Sama juga macam kita lelaki biasa, kalau asyik jalan berseorangan saja ke mana-mana, biasanya akan muncullah juga macam-macam cerita.
Untuk itu, sesekali haruslah juga ditunjukkan keluarga dan wajah isteri secara terbuka.
Kepada Rosmah, untuk keselamatan dan kejayaan masa depan suaminya, jangan lagi dibiarkan Najib muncul secara terbuka seorang diri selepas ini.
Sentiasalah ada di sisi Najib ke mana saja dan di sepanjang masa. – ShahbudinHusin 23/05/2022
.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/05/rosmah-harus-selalu-ada-di-sisi-najib.html