Rizky Dalam Kenangan Jan 2007 18 Mei 2022
Mama, Rizky dah tak ada. Kata kata Juita yang mengejutkan saya dari tidur pagi tadi. Setelah lebih sebulan tidak dapat tidur malam, saya mulai tidur malam ini. Biasanya pukul 2.00 pagi saya akan mulai terjaga.
Saya meluru berlari ke bilik Juita sambil menangis. Kelihatan Hubby dan Aween ada di situ. Hubby sedang menggosok Rizky sambil menutup mata dia.
Walaupun kami redha dengan pemergian Rizky tapi kami tidak mampu menahan tangis kerana Rizky telah menjadi keluarga kami dari 4.2.2007 hingga 18.5.2022.
Rizky adalah kucing pertama yang saya setuju untuk bela atas permintaan Aween untuk harijadi beliau pada 4 Februari 2007 sekembalinya kami dari menunaikan Fardhu Haji. Semasa kami di Mekah, Aween banyak kali menghantar mesej mahu memelihara kucing. Akhirnya saya akur dan meminta menunggu sehingga kami kembali ke tanahair.
Kami adopt Rizky setelah menemuinya di pet shop di Uptown Damansara Utama. Dia telah menghampiri Nelly untuk bermanja manja menyebabkan dia yang menjadi pilihan kami. Rizky adalah kategori domestic long hair kerana tidak menpunyai certificate. Ketika itu, dia berusia 3 bulan.
Akhirnya Rizky telah pergi meninggalkan kami pada hari ini 18.5.2022 pada pukul 3.20 pagi. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dari Allah kita semua datang dan kepada Allah, kita semua dikembalikan.
Lebih 15 tahun, Rizky menjadi sebahagian dari keluarga kami. Kami redha untuk Rizky pergi kerana tidak sanggup melihat dia yang sangat uzur. Malahan tidak lagi dapat berdiri kerana muscle kaki nya yang sangat lemah kerana usia tua. Gigi pun hanya ada beberapa batang sahaja.
Semasa kami berada di London, Nana dan Alain membawa Rizky ke vet dan disahkan mengidap sakit buah pinggang kerana faktor usia. Sejak itu, Nelly dan Aween akan memberi air melalui injection. Sehingga lah Rizky tidak mampu lagi menerima injection, Juita setiap hari membawa Rizky ke vet untuk injection. Kali terakhir Juita membawa Rizky adalah semalam dalam pukul 11 pagi.
Menurut doktor keadaan Rizky bertambah uzur. Doktor ada memberi pilihan jika mahu Rizky ditidurkan. Saya tidak mahu kerana nyawa adalah milik Allah. Selagi ada nyawa, kami akan menjaganya.
Ini adalah kali kedua doktor mencadangkan sedemikian. Kali pertama dalam tahun 2014 apabila Rizky terkena sawan kerana terkena penyembur semut. Setiap kali serangan, dia akan tergigit lidahnya.
Kata doktor ia menyakitkan dan kebiasaannya sawan sekali terkena akan sentiasa ada selamanya. Saya juga mendapatkan pandangan ustaz yang ianya dibolehkan jika kesakitan itu menyiksakan haiwan. Setelah beberapa hari dirawat di klinik, Alhamdulillah akhirnya Rizky kuat dan sihat dengan kasih sayang kami.
Rizky yang sentiasa menemani anak anak yang berjaga malam untuk belajar, Rizky yang menemani kami bersahur dan Rizky yang menunggu kami balik dari kerja. Rizky selalu naik dan berehat di bilik Juita dan Aween.
Setiap malam juga Rizky akan berada di ruang keluarga samada menemani Hubby menonton dan berehat atau memerhatikan cucu cucu saya Ammar Yahya dan Medina bermain. Setiap kali dipanggil, dia akan datang dan baring rapat dengan Hubby.
Petang semalam, Juita membawa Rizky di depan kolam ikan tempat yang biasa Rizky berehat. Kami bercakap cakap dan memanggil Rizky. Dia masih menggerakkan mata bila namanya dipanggil.
Kami redha kerana Rizky telah berada di tempat yang lebih baik sekarang. Allah menjanjikan seseorang yang berbuat kebaikan termasuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga. Maafkan mama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2022/05/rizky-dalam-kenangan-jan-2007-18-mei.html