Revolusi Tvet Pindaan Akta 652 Pacu Pengenalan Tiga Sijil Pakar Nasional
Revolusi TVET: Pindaan Akta 652 Pacu Pengenalan Tiga Sijil Pakar Nasional
KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2025 – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] yang dibentangkan oleh YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, menekankan komitmen Kerajaan Madani menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh ekosistem kepakaran tenaga mahir negara agar terus kompetitif dan relevan, seiring keperluan ekonomi yang dipacu oleh teknologi, automasi serta tuntutan industri masa hadapan.
Akta 652 yang telah berkuat kuasa hampir dua dekad, kini diperkukuh melalui 15 fasal pindaan bagi memperluas pengiktirafan kemahiran dan meningkatkan kualiti penyedia latihan.
Pindaan ini memastikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terus relevan dan responsif terhadap keperluan industri baharu termasuk kecerdasan buatan (A.I), automasi, teknologi hijau dan semikonduktor.

Antara intipati utama Pindaan Akta 652:
Dimensi baharu pengiktirafan kepakaran kepada pekerja tempatan
Pengenalan tiga kategori baharu bagi menghargai dan mengiktiraf pekerja yang berpengalaman, pakar dan mahir dalam bidang iaitu Pakar Kemahiran,
Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran.
Tadbir urus Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) lebih inklusif
Menambah empat keanggotaan baharu iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; dan badan profesional strategik, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bagi memastikan dasar TVET lebih seimbang dan dipandu kepakaran teknikal sebenar.
Pengiktirafan program luar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS)
JPK boleh mengiktiraf latihan frontier seperti A.I, automasi, semikonduktor dan teknologi hijau untuk tujuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Pentauliahan diperkemas dan diperketat
Tempoh pentauliahan dari 3 tahun dilanjutkan sehingga tidak melebihi 6 tahun. Di samping itu, tatacara baharu penggantungan dan pembatalan diperkenalkan.
Pengenalan laluan kelayakan kemahiran, Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM)
SKMM merupakan laluan fleksibel dan modular bagi pembelajaran sepanjang hayat. Ia selaras dengan keperluan pekerja, belia dan golongan dewasa yang ingin meningkatkan kemahiran, kepakaran dan kompetensi spesifik secara fleksibel menerusi program micro-credential dengan kos yang rendah.
Menteri Sumber Manusia, ketika membentangkan Bacaan Kedua dan Ketiga Pindaan Akta 652, menegaskan bahawa pindaan menyeluruh ini mewujudkan kerangka undang-undang baharu yang lebih responsif dan inklusif untuk mengiktiraf pelajar serta tenaga kerja mahir.
Ia juga bertujuan membuka laluan mobiliti sosial yang lebih luas dan memenuhi permintaan industri yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi.
RUU ini memperkenalkan tiga sijil pakar baru, iaitu Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran, buat pertama kalinya menilai dan mengiktiraf pengalaman luas dan kepakaran pekerja tempatan setaraf piawaian antarabangsa.
Pindaan akta ini merupakan revolusi TVET sebab ia mengangkat keringat dan kepakaran tenaga mahir Malaysia ke pentas lebih tinggi, selaras dengan aspirasi melahirkan tenaga kerja berkelas dunia,” ujar beliau
Dengan Revolusi TVET ini, KESUMA menerusi JPK akan memastikan ekosistem TVET negara bukan sahaja terpelihara, malah memastikan sektor ini dapat berkembang secara mampan, berdaya saing serta lebih inklusif kepada golongan pelajar dan pekerja.
Ia adalah selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk memastikan TVET diangkat sebagai pendidikan arus perdana bagi melahirkan rakyat berkemahiran untuk masa depan serta mengangkat negara sebagai hab TVET serantau menjelang 2030 serta berdaya saing di pentas dunia menjelang 2050.
The post Revolusi TVET: Pindaan Akta 652 Pacu Pengenalan Tiga Sijil Pakar Nasional appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/03/revolusi-tvet-pindaan-akta-652-pacu-pengenalan-tiga-sijil-pakar-nasional/