Reunion Sempena 32 Tahun Persahabatan
Entri berkaitan :Kad Undangan Istimewa3 Hari 2 Malam Kembali ke Zaman RemajaBergotong-royong Membuat Persiapan Reunion
REUNION LABULADIES SEMPENA 32 TAHUN PERSAHABATAN26 - 27 NOVEMBER 2022LANTANA VILLA, BANGI GOLF RESORT, SELANGORWarna tema pakaian : Baju ‘mint green’ dan tudung ‘nude/cream’.
Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Hari yang mempertemukan kembali saya dan sahabat-sahabat zaman sekolah menengah. Pertemuan kali ini lebih istimewa kerana lebih ramai sahabat yang turut serta. Ada yang sanggup datang jauh dari Kelantan demi meraikan hari istimewa kami. Begitu juga dengan sahabat-sahabat lain yang sanggup datang dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Melaka
Ada sahabat yang baru pertama kali saya temui sejak berpisah di tingkatan 3 dan ada yang kali terakhir saya temui sewaktu kami di tingkatan 5. Mujur wajah masing-masing sepertinya tak banyak berubah, masih boleh kenal walau sudah 29 tahun tak pernah bersua muka dan tak pernah melihat foto di media sosial. Kegembiraan yang tak terucap dek kata-kata, cuma terluah dengan pelukan erat dan senyuman di bibir
Pengisian reunion kami secara ringkasnya seperti berikut :
Sabtu | 26 November 202211.30 pagi - Ketibaan, pendaftaran dan makan tengah hari.1.30 petang - Kata-kata aluan presiden selaku ketua AJK sambutan reunion ke-3.Aktiviti permainan berkumpulan.Sesi tukar hadiah, pemberian hadiah untuk aktiviti berkumpulan dan cabutan bertuah.Sesi berfoto.Lewat petang - Aktiviti bebas.7 malam - Aktiviti kerohanian (solat berjemaah Maghrib/Isyak dan tazkirah oleh sahabat ustazah).Makan malam.Sesi cabutan bertuah.Sesi berfoto (pakai baju dan tudung ditempah khas untuk reunion).Mengalunkan lagu sekolah, lagu Sumbangsih sekolah dan zikir Asmaul Husna.Lewat malam - Aktiviti bebas.
Ahad | 27 November 2022Pagi - Solat Subuh berjemaah, bacaan al-Ma’thurat dan perkongsian oleh sahabat kaunselor.Sarapan pagi.Sesi cabutan bertuah.Aktiviti bebas.Gotong-royong mengemas rumah.Bersurai.Untuk aktiviti bebas - selain berfoto atau berborak santai, aktiviti lain yang kami lakukan adalah berenang, berkaraoke dan memakai inai beramai-ramai. Masing-masing boleh sertai kumpulan dengan aktiviti kegemaran. Cukup santai dan seronok
Selesai reunion, kami muat naik semua foto/video dari telefon masing-masing di pautan khas Google Photos. Semua orang boleh berkongsi melihat dan guna foto/video yang ada. Jadinya ada beberapa foto/video di entri ini yang saya ambil daripada perkongsian sahabat lain
Merakam memori di ruang tamu rumah tempat kaunter pendaftaran. Meriah dengan gelak tawa. Tambah meriah bila ada sahabat yang baru tiba, disambut dengan sorakan gembira
Menu makan tengah hari kami - nasi putih, nasi beriani, ayam masak beriani, ayam goreng berempah, daging masak hitam, sambal udang, kobis masak lemak, pajeri nenas, tempoyak daun kayu, air honeydew, air teh tarik, buah-buahan, bubur chacha dan kuih-muih serta kek. Fuh! Memang sangat banyak pilihan. Masing-masing kata sedap semua makanan. Tapi tak sempat pun saya nak merasa semuanya. Selesai reunion teringat-ingat pulak…huhu
Makan-makan, bergelak ketawa dan berfoto. Kami tak dirikan khemah di luar pun, makan di dalam rumah saja dengan tambahan dua buah meja bulat bersaiz besar dan sebuah meja makan panjang
Sesi berfoto di dalam rumah
Aktiviti permainan berkumpulan dijalankan di tingkat 3 rumah. Sengaja buat di atas sekali sebab ada ruang lapang yang luas dan supaya semua orang boleh melawat keseluruhan rumah. Boleh naik lif atau meniti anak tangga untuk ke tingkat 3. Kalau naik tangga, kita akan melalui sebuah bilik air ‘terbuka’. Heheh. Itu nanti saya cerita dalam entri berkenaan Lantana Villa
Sesi berfoto waktu petang di luar rumah. Banyak sudut yang cantik untuk berfoto, antaranya di kolam renang ini yang terletak di bahagian belakang
Aktiviti malam di tingkat 2 - pengisian rohani. Mengimbau zaman jadi budak asrama - solat berjemaah dan mendengar tazkirah
Selesai makan malam, sekali lagi sesi cabutan bertuah. Selain hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak AJK, ramai juga sahabat yang membawa sumbangan hadiah untuk cabutan bertuah. Itu yang jadi banyak sampai boleh buat berkali-kali
Merakam memori kami menggayakan t-shirt dan tudung yang ditempah khas sempena reunion kali ini
Alhamdulillah selesai sudah acara reunion kami dengan jayanya. Kehadiran sepatutnya sekitar 50 orang, tetapi yang dapat hadir sekitar 45 orang. Ada juga yang tak dapat ikut bermalam, tapi turut menghabiskan masa sehingga lewat malam bersama. Pertemuan yang cukup meriah dengan gelagat masing-masing yang masih seperti di zaman remaja. Bak kata seorang sahabat, kami umpama remaja 17 tahun yang terperangkap dalam jasad wanita 44 tahun 😂. Namun begitu, ada ketikanya kami turut berkongsi rasa sebak dan mengalirkan air mata pada momen tertentu. Semuanya menyatu menjadi sebuah kenangan terindah
Berkenaan kos, perbelanjaan untuk reunion kami buat tabungan berdikit-dikit sejak sebelum pandemik COVID-19. Kami juga mendapat tajaan wang, kuih-muih dan barangan dari sahabat-sahabat yang bermurah hati. Moga Allah murahkan rezeki sahabat-sahabat yang telah menambah kegembiraan dan kemeriahan pertemuan kami ini
Video berdurasi 0:59 minit
Kredit lagu : Sahabat Itu Seperti Bintang - Dazzling
Terima kasih Allah atas kesempatan ini. Terlalu banyak momen indah sepanjang pertemuan kami. Tak terungkap dengan kata-kata atau banyaknya rakaman foto, semuanya terabadi di sudut hati 💚
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2022/12/reunion-sempena-32-tahun-persahabatan.html