Remaja Bunuh Sahabat Baiknya Sejak Dari Kecil Kerana Geram Selalu Diejek Kalah Dalam Game Mobile Legends
Seorang lelaki berasal dari Jabung, Jawa Timur, nekad menghabiskan nyawa rakannya kerana berang sering diejek ketika bermain game Mobile Legends: Bang Bang.
Suspek, M. Imron dikatakan memukul mangsa, Redi Setyo mengunakan tukul besi berulang kali tanpa belas kasihan sehingga mati.
Siasatan awal mendapati, Imron dan Redi berkawan sejak dari kecil dan berhijrah ke Malang untuk bekerja di sebuah bengkel yang menyediakan tempat tinggal di tingkat dua premis tersebut.
Selepas selesai bekerja, Imron dan Redi kerap bermain game Mobile Legends untuk mengisi masa terluang. Namun, Imron yang berusia 18 tahun itu seringkali tewas ketika bermain game popular itu berbanding Redi.
Di kesempatan itu, Redi selalu mengejek Imron yang berulang kali tewas, menyebabkan Imron terasa dan hanya mampu berdiam diri. Dalam masa sama, Imron mengakui perbuatan Redi itu membuatkannya menjadi seorang pendendam.
"Saya kesal, dia selalu mengejek saya ketika bermain game. Selama ini saya diam saja," katanya.
Pada 2 September 2020, jam 7 petang, kemarahan Imron tidak lagi dapat dikawal. Dia terus mengambil tukul dari tempat peralatan bengkel lalu menghentam kepala Redi.
Pukulan pertama terkena pada bahagian ubun-ubun Redi. Imron kemudian menghayun pukulan seterusnya dan mengenai bahagian belakang kepala menyebabkan Redi mengerang kesakitan.
Redi cuba berlari menyelamatkan diri tetapi sempat dipukul oleh Imron di bahagian tangan. Memandangkan Redi masih bergerak, Imron sekali lagi menghayun tukul tepat ke bahagian dada Redi sehingga benar-benar tidak bernyawa.
Setelah itu, Imron melarikan diri dan bersembunyi di kawasan sawah sebelum berjaya ditahan polis selepas 36 jam kemudian.
22 Mei 2021, mahkamah menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara selepas Imron mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Redi. Tetapi keluarga Redi tidak dapat menerima keputusan itu dan dengan tegas mengatakan mereka tidak akan memaafkan Imron.
Kesedihan keluarga Redi turut bertambah apabila ibu Redi dilaporkan meninggal dunia tidak beberapa lama selepas kejadian tersebut kerana terlalu sedih mengenang kehilangan anaknya.
Sumber: Indo Zone
source https://www.thereporter.my/2023/02/remaja-bunuh-sahabat-baiknya-sejak-dari.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kongsibro.blogspot.com/2023/02/remaja-bunuh-sahabat-baiknya-sejak-dari.html