Rafidah Saya Mahu Sertai Bersatu
Foto: FMT
KUALA LUMPUR: Bekas orang kuat UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Pemimpin veteran yang pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ketua Wanita UMNO itu berkata, beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor BH Online hari ini.
Loading... “Saya mahu sertai BERSATU. Saya dah beritahu Perdana Menteri, namun buat masa ini saya belum sempat untuk mendapatkan dan mengisi borang keahlian.
“Pada saya, di mana hati kita berada itu lebih penting. Menandatangani borang itu hanya simbolik (menyertai parti),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Simposium Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah Malaysia (MAICSA) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah menyertai BERSATU seperti yang dilakukan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed.
Rafidah digugurkan keahlian UMNO bersama dua bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim pada 5 Mei lalu, kerana menyokong PH serta menghentam parti itu.
Mustapa pula menyertai BERSATU pada 26 Oktober lalu selepas mengumumkan keluar daripada UMNO pada 18 September.
Rafidah bagaimanapun berang apabila dikaitkan dengan Mustapa dan menegaskan, enggan namanya diletak bersama-sama dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.
“Jangan letakkan saya dalam satu kumpulan yang sama dengan Tok Pa (Mustapa).
“Saya Rafidah Aziz. Saya putuskan apa saya nak buat. Saya tak ikut orang.
“Saya tak kisah apa mereka nak buat, nak lompat katak atau apa saja. Saya bukan nak sertai BERSATU kerana ada orang bodoh nak sertainya,” katanya dalam nada tegas.
Ditanya sama ada ditawarkan jawatan dalam BERSATU, Rafidah berkata, beliau membantu Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana merasakan perlunya perubahan kerajaan, bukan untuk jawatan.
“Perdana Menteri kenal saya. Jika beliau pancing saya dengan apa saja, saya akan berundur. Jangan cuba rasuah saya dengan apa-apa pun.
“Memancing dengan jawatan itu rasuah dan berkait dengan kronisme. Tidak mungkin sama sekali. Saya lakukan (bantu PH) kerana negara ini perlukan perubahan.
“Saya sudah 75 tahun. Saya dah bersara. Cukup cukuplah,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.malaysianupdate.com/2018/11/rafidah-saya-mahu-sertai-bersatu.html