Qcy T5 Tws Gaming Terbaik Bawah Rm50
QCY memperkenalkan TWS mereka yang menyasarkan para gamer dengan QCY T5 yang dilengkapi dengan fungsi “gaming mode” untuk tindak balas audio yang lebih pantas dengan Bluetooth 5.0. Apa yang paling penting, ia mampu milik dan berkualiti; pada harga BAWAH RM50!
PANDANG PERTAMA
QCY T5 datang dengan pakej yang sederhana. Grafik yang minima, dengan kotak yang kosong tanpa warna dan corak bergaya. Bersesuaian dengan gaya syarikat mereka yang memasarkan produk-produk bajet. Pun begitu, TWS ini selamat mengharungi perjalan jauh daripada China ke Malaysia tanpa masalah atau kemek. QCY masih lagi bermurah hati dengan memberikan getah telinga tambahan, kabel pengecasan dan juga buku manual bersama-sama dengan QCY T5 ini.
KUALITI BINAAN
Perbezaan ketara pada QCY T5 berbanding TWS yang lain adalah beratnya. Di antara kesemua TWS saya, QCY T5 adalah yang paling ringan. Ia terasa begitu ringan seolah-olah ia kosong walaupun kedua-dua belah TWS sudah berada di dalam kotak. Walau sedemikian, ia tidaklah selekeh. Engselnya ketat, dan dilekapkan dengan magnet. Tidak mudah untuk terbuka walau telah digoncang dengan kuat.
QCY T5 masih lagi mengekalkan Mikro USB pada bekasnya. Penunjuk aras bateri diletakkan di bahagian hadapan bekas. Panunjuk bateri ini agak mengelirukan pada mulanya. Ia berwarna merah apabila bateri sudah berada pada tahap kritikal. Ia berwarna hijau ketika bateri masih belum kritikal dan ketika sedang mengecas. Apabila dicas penuh, kedua-dua lampu LED akan terpadam.
QCY T5 juga mempunyai kadar kalis air IPX5. Sudah mencukupi untuk berfungsi walaupun dalam percikan air dan disentuh dengan tangan yang basah.
BATERI
QCY T5 boleh memainkan muzik selama 4-5 jam tanpa henti. Bekasnya boleh mengecas kedua-dua belah TWS sebanyak 4 kitaran penuh. Dalam gaming mode pula, ia boleh bertahan selama lebih kurang 3-3.5 jam tanpa henti ketika ujian saya. Tidak begitu memberangsangkan, tapi untuk julat harga ini, ia sudahpun cukup bagus dan menepati jangkaan saya. Kedua-dua belah TWS ini mempunyai kapasiti bateri sebesar 40mAh dan sebesar 380mAh pada bekasnya.
KUALITI BUNYI
Bunyi pada QCY T5 ini pada saya seimbang dengan lebih penekanan pada Mid dan High. Menjadikan bunyi pada QCY T5 agak bright pada pendengaran saya. Bass pada QCY T5 masih ada, tapi tidak begitu bergetar. Ia ada, tapi tidak terlalu dominan seperti TWS yang lebih memfokuskan pada bass seperti Oppo Enco W11 dan TaoTronic SoundLiberty 53 Pro.
Anda boleh mengubah bunyi menggunakan equalizer di telefon anda, tapi bagi saya QCY T5 kedengaran lebih enak dengan talaan asal yang memberikan lebih mid dan high dengan clarity yang cukup. Vokal dan simbal tidak keterlaluan dan sibilance masih lagi dikawal dengan baik. Bunyi ‘sssss’ pada simbal dan vokal tidak menutupi bunyi lain semasa mendengar lagu.
Soundstage juga bagi saya agak sempit tapi tidaklah terlalu sempit. Stereonya masih ada kesan surround tapi sepanjang pendengaran, saya terasa seolah berada dalam bilik kecil sahaja. Tapi apa yang saya suka, ia boleh bertukar di antara mod stereo dan mono dengan pantas apabila anda memasukkan atau mengeluarkan sebelah TWS ke dalam bekas untuk mendengar lagu menggunakan sebelah telinga ataupun kedua-dua belah telinga.
Dengan rekabentuk paip dan mikrofon yang berada di bawah dan berdekatan dengan mulut, mikrofon pada QCY T5 ini berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang. Suara semasa panggilan suara dan bermain dapat didengar dengan jelas. Apabila berada di luar juga, suara masih dapat ditangkap dengan kuat dan perbualan dapat diteruskan tanpa gangguan.
KUALITI SAMBUNGAN
Kualiti sambungan adalah kekuatan utama QCY T5. Menonton YouTube menggunakan TWS ini tiada masalah dan tiada kelewatan audio. Mod gaming juga sangat bagus. 3 kali sentuhan pada TWS kanan dan anda akan mendengar 3 bunyi “bip” menandakan mod gaming diaktifkan. Saya telah menguji mod gaming pada telefon lama yang masih menggunakan Bluetooth 4.2 dan hasilnya sangat memuaskan. Hampir tiada kelewatan bunyi semasa bermain permainan video walaupun pada peranti dengan Bluetooth 4.2! Ia tidaklah mampu menyamai kualiti sambungan dengan sambungan berwayar, tapi ia hampir-hampir menyamai.
Sambungan pada QCY T5 juga automatik. Apabila anda membuka penutup bekas, ia sudah pun bersambung dengan telefon sekiranya anda sudah pernah menyambungkannya sebelum ini. Apabila anda memasukkan semula TWS ini ke dalam bekas, ia akan memutuskan sambungan dan mematikan kuasa TWS juga secara automatik. Begitu juga dengan penggunaan TWS pada sebelah telinga atau dua belah telinga. Ia dapat beradaptasi dengan pantas di antara keduanya.
KAWALAN
QCY T5 menggunakan kawalan sentuhan. Sentuh dua kali untuk Main/Jeda lagu. Sentuh tiga kali di sebelah kanan untuk mengaktifkan/mematikan mod gaming (3 bip aktif/ 2 bip mati). Sentuh 3 kali di sebelah kiri untuk memanggil aplikasi pembantu di telefon pintar anda. Tekan dan tahan untuk memainkan lagu seterusnya/sebelumnya.
Untuk panggilan, tekan 2 kali untuk menjawab panggilan dan tekan dan tahan selama 2 saat untuk mengabaikan panggilan.
Agak pelik juga kenapa QCY T5 tidak berupaya mengawal kelantangan bunyi sedangkan fungsi tekan 1 kali tidak ada pada QCY T5 seperti pada TaoTronic SoundLiberty 53 dan TaoTronic SoundLiberty 53 Pro.
KELEBIHAN
Kelebihan pada QCY T5 iini adalah pada kualti sambungannya yang pantas dengan mod gaming yang sangat berkesan WALAUPUN dengan peranti lama. Ia juga sangat selesa dipakai dengan beratnya yang sangat ringan. Anda boleh bermain permainan dengan masa yang lama tanpa telinga anda berasa sakit.
Kualiti bunyinya juga tidak teruk. Anda dapat kejelasan dan pengasingan bunyi yang baik dengan QCY T5. Karakter bunyi dapat ditala dengan baik menggunakan equalizer sekiranya anda ingin menala beberapa aspek bunyi mengikut selera anda. Dan yang paling penting, harganya rendah, BAWAH RM50 untuk TWS gaming yang berkualiti sebegini!
KEKURANGAN
Tidak banyak yang saya ingin adukan pada TWS ini. Jujurlah, untuk TWS berharga semurah ini, apa lagi yang anda mahukan? Kalau ada pun penambahan yang saya mahukan adalah kapasiti bateri yang lebih besar pada TWS dan bekas QCY T5. QCY T5 juga tiada kawalan kelantangan jadi sekiranya anda ingin mengubah kelantangan bunyi, anda cuma boleh mengubahnya dengan menekan butang fizikal di telefon anda.
QCY juga ada membuat aplikasi untuk TWS mereka tapi malangnya, untuk model T5 ini anda tidak boleh menyambung dengan aplikasi mereka. Anehnya, untuk mereka menyediakan pula sokongan untuk model T5S dan T5 Pro yang hampir sama saja dengan T5 ini.
Ia juga terasa agak longgar pada telinga saya. Walaupun tidak pernah terjatuh, tapi ia terasa kurang cengkaman pada telinga. Tapi untuk ini, ia subjektif kerana ada pengguna yang mengatakan cengkaman pada QCY T5 sangat bagus untuk mereka.
KESIMPULAN
QCY T5 adalah TWS yang terbaik untuk julat harga di bawah RM50 bagi mereka yang selalu bermain permainan video di telefon atau komputer mereka. Dengan mod gaming yang sangat baik, anda tidak lagi boleh memberi alasan permainan anda terjejas dengan TWS kerana kelewatan audio. Ia juga ringan dan selesa untuk penggunaan lama. Karakter bunyi pada QCY T5 ini terasa berkualiti dan tidaklah seperti produk pasar malam walaupun jatuh dalam kategori bajet. Paling penting, BAWAH RM50!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/qcy-t5-tws-gaming-terbaik-bawah-rm50/