Pusat Bencana Sungai Kim Kim Tutup
Izlaily Nurul Ain Hussein   
PUSAT  Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana dan Pusat Rawatan Awal  (Medic Base) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG)  akan ditutup secara rasmi, 12 tengah hari ini
Pusat  itu diwujudkan susulan insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim  dekat Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang menyebabkan lebih 4,000  penduduk termasuk murid dan pelajar terjejas
Pengerusi  Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin  Jamal berkata, keputusan penutupan dibuat selepas Mesyuarat  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, malam tadi
Katanya, mesyuarat itu membabitkan pelbagai agensi yang terbabit insiden berkenaan
“Data  yang kita dapat, jumlah pesakit berkurangan dan keseluruhan kualiti  udara di persekitaran Sungai Kim Kim sudah kembali pulih
“Hasil  mesyuarat jawatankuasa bencana, maka kami ambil keputusan dengan  perkembangan positif ini, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan  Bencana dan Pusat Rawatan Awal (Medic Base) Stadium Tertutup MPPG akan  ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari ini
“Saya  sebagai wakil kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada agensi  Kerajaan Persekutuan, pasukan keselamatan, anggota kesihatan, institusi  pendidikan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan,  pengamal media dan semua yang terbabit dalam proses ini,” katanya pada  sidang media di pekarangan Menara Aqabah, MPPG, hari ini
Dr  Sahruddin berkata, bagaimanapun kerja pemantauan oleh agensi yang  terbabit akan tetap diteruskan mengikut keperluan agensi masing-masing
Katanya  juga, sehingga 12 tengah malam tadi, 40 pesakit sudah dibenarkan pulang  selepas rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan  Ismail (HSI), manakala lapan pesakit baharu dirujuk ke hospital setakat  tempoh sama
Beliau berkata, hanya dua pesakit masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan, namun semuanya dilaporkan stabil
“Daripada  17 Mac hingga jam 12 tengah malam tadi, 44 pesakit masih dirawat di  hospital. Orang awam yang mengalami simptom seperti pedih mata, loya,  muntah, sesak nafas dan pening, boleh dapatkan rawatan di hospital atau  klinik kesihatan yang berhampiran,” katanya
Pusat  Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, MPPG  itu dibuka sejak 12 Mac lalu, selepas berlaku gelombang ketiga dalam  insiden pencemaran sungai berkenaan
Stadium  Tertutup MPPG pula dijadikan Pusat Rawatan Awal sejak 14 Mac,  menggantikan dua dewan yang dijadikan Medic Base sebelum itu
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/pusat-bencana-sungai-kim-kim-tutup.html