Pulau Pinang Tidak Ikut Pusat Cadang Rm800 000 Had Harga Bagi Warga Asing
   Bernama

Jagdeep  Singh Deo berkata Pulau Pinang mencadangkan had harga bagi warga asing  untuk membeli hartanah mewah ditetapkan pada RM800,000 berbanding  RM600,000 oleh Putrajaya. GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan had harga bagi warga  asing untuk membeli hartanah mewah di negeri itu ditetapkan pada  RM800,000, berbanding RM600,000 diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng  dalam Belanjawan 2020.
 Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancang Bandar  dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata pengurangan had harga  bagi pembeli hartanah warga asing sepatutnya hanya terpakai bagi tempoh  enam bulan daripada satu tahun seperti dibentangkan dalam belanjawan.
 “Tujuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengurangkan had harga bagi  warga asing (membeli kondominum yang telah dibina) daripada RM1 juta  kepada RM600,000 adalah untuk menangani isu hartanah tidak terjual di  negara ini, tetapi di Pulau Pinang isu (hartanah tidak terjual) adalah  terkawal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
 Katanya hartanah tidak terjual di Pulau Pinang telah  berkurangan daripada 3,916 unit pada 2017 kepada 3,502 unit pada 2018,  manakala ia meningkat di negeri lain seperti Johor (4,376 kepada 6,066  unit antara tahun 2017-2018) dan Selangor (3,713 kepada 4,623 unit).
     “Cadangan itu dibincangkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow  Kon Yeow) dan akan dibincangkan lebih lanjut dan disahkan kemudian pada  mesyuarat Exco kerajaan negeri akan datang,” katanya.
 Sementara itu, Jagdeep turut mengulas skim pembiayaan Sewa Milik (RTO) yang turut dibentangkan oleh Lim dalam Belanjawan 2020.
Skim RTO, menurutnya, perlu mengutamakan pembeli rumah kali pertama  untuk membeli unit kos rendah dan kos sederhana masing-masing bernilai  pada RM42,000 dan RM72,500, serta rumah mampu milik pada RM150,000.
 “Bagaimanapun, menurut pengumuman Belanjawan 2020, skim RTO terpakai  kepada hartanah bernilai pada RM500,000, (yang) bagi saya, mereka yang  mampu beli pada harga itu tidak perlu untuk dibantu,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/pulau-pinang-tidak-ikut-pusat-cadang.html