Pru 15 Indera Mahkota Kerusi Panas Yang Menjadi Perebutan Umno Bersatu Di Pahang
KUANTAN - Antara kerusi panas yang akan menjadi perebutan pada pilihan raya umum ke-15 nanti di Pahang ialah Parlimen Indera Mahkota.
Ini berikutan terdapat desas-desus masih lagi berlaku pertikaian dan perebutan kerusi tersebut antara parti dan pemimpin yang berkenaan. Pihak manakah yang akan bertanding mewakili kerajaan 'Keluarga Malaysia' di situ.
Perebutan ini menyebabkan kedudukan Ahli Parlimennya, Datuk Saifuddin Abdullah agak goyah kerana UMNO juga sedang bersiap sedia untuk meletakkan calon mereka.
Menurut sumber, UMNO tidak akan sama sekali membenarkan Saifuddin yang kini bersama Bersatu untuk bertanding di kerusi itu.
"Indera Mahkota adalah milik UMNO sejak sekian lama. Saifuddin menang atas tiket PKR pada PRU-14 bukan UMNO. Beliau lompat ke BERSATU ketika krisis Langkah Sheraton pada 2020. Tidak mungkin UMNO akan menyokong beliau, walau pun kini mereka bersama dalam Keluarga Malaysia dibawa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO. Kerjasama hanya sehingga parlimen bubar, selepas itu UMNO akan bawa haluan sendiri pada PRU-15," kata sumber tersebut.
Melihat kepada gerak kerja UMNO di Indera Mahkota, ternyata ahli-ahli akar umbi akan tetap mempertahankan kerusi itu milik parti tersebut. Jika ini berlaku, Saifuddin dijangka berhadapan laluan sukar untuk menang.
"Saifuddin cuma boleh berharap kerjasama daripada PAS atas nama Perikatan Nasional (PN). Namun PAS juga mahu bersama UMNO atas nama Muafakat Nasional (MN) di Pahang. Ini bermakna ahli akar umbi PAS pasti berbelah bahagi ran terpaksa menunggu wahyu untuk walaq kepada perintah presiden parti itu menjelang PRU-15 nanti," tambahnya.
Apa pun kedudukan itu agak sedikit stabil kerana PKR difahamkan akan meletakkan calon baharu yang kurang popular berbanding dengan nama Saifuddin dan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi pada PRU-14 lalu.
Kerusi Parlimen Indera Mahkota sudah tiga penggal dimenangi oleh PKR melalui Azan Ismail (kini Ketua PKR Terengganu), Datuk Fauzi Abd Rahman dan Saifuddin sendiri. Namun, akibat tindakan Saifuddin khianat kepada 'mandat rakyat', maka kerusi itu kini menjadi milik kerajaan semula.
"Bagi pengundi, Saifuddin akan ditolak kerana sanggup melompat dan meninggalkan arus perjuangan rakyat diketika perubahan tampuk pimpinan negara hampir berlaku, jika Tun Mahathir tidak meletakkan jawatanya. Kini terpulang kepada rakyat. Bagi kami, orang yang melompat dan khianat tiada lagi kepercayaan untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen,' tambah sumber itu lagi.
Apa pun terjadi, pasti ramai yang akan ternanti-nanti adengan panas kerusi parlimen Indera Mahkota pada PRU-15 ini nanti. Adakah Saifuddin yang kembali menjadi Menteri Luar itu boleh pertahankannya atau bakal tersunggur akibat pengkhianatan yang dilakukan terhadap pengundi parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum yang lalu.
Pada PRU-14 Saifuddin yang bertanding atas tiket PKR telah menang dengan majoriti 10,950 undi. Beliau mendapat 28,578 undi apabila menewaskan dua lagi calon pada persaingan tiga penjuru dengan PAS dan BN.
Calon BN, Datuk Dr Johan Mat Sah mendapat 17,628 undi, manakala Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dari PAS mendapat 17,515 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Harus diingat pada satu kenyataan sebelum ini Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menbayangkan UMNO tidak akan memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
Beliau turut menyifatkan hasrat Bersatu untuk bertanding di lima kerusi Parlimen dan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tidak masuk akal kerana parti itu tidak mempunyai asas kukuh di negeri itu.
Katanya lagi, satu-satunya kerusi dipegang parti itu pada masa ini adalah di Indera Mahkota, hanya selepas wakil rakyatnya, Saifuddin Abdullah menyertai Bersatu tahun lalu.
Difahamkan lima kerusi Parlimen di Pahang yang sedang diintai Bersatu adalah Parlimen Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong, yang semuanya dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Apa akan terjadi jika UMNO tidak izinkan Saifuddin bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota dan membuat undi protes?. Bahkan, lebih kritikal lagi jika UMNO meletakkan calon atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kemudian menarik pula sokongan ahli akar umbi PAS atas kesepakatan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini?. Bukankah kedudukan Saifuddin agak berbahaya, jika terlambat wujudkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. #PDO
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/09/pru-15-indera-mahkota-kerusi-panas-yang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)