Projek Sayur Bantu Asnaf Belia
Oleh Mohd Khidir Zakaria
Antara peserta Projek Kebun Mini MPKK di tapak projek di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria PORT DICKSON: Projek tanaman sayur antara projek rintis bagi mencari solusi masalah ekonomi yang semakin mencengkam ramai penduduk selepas diserang wabak pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.
Seramai lapan peserta, empat asnaf dan empat belia Kampung Sawah Sunggala memulakan projek rintis sejak sebulan lalu apabila mengusahakan tanah terbiar milik kerajaan seluas 0.4 hektar di sini.
Idea dan perancangan awal projek ini dilakukan sendiri Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Muhammad Saufi Miad.
Katanya, buat masa ini, hanya kawasan bersebelahan Taman Al Quran Kampung Sawah Sunggala sesuai sebagai permulaan projek rintis pertanian bagi menambah pendapatan penduduk terutama golongan asnaf dan juga belia yang tiada pekerjaan.
"Golongan asnaf dan juga belia yang tiada atau hilang pekerjaan adalah sasaran saya untuk memulakan projek tanaman sayur jenis terung dan cili.
"Saya juga menggalakkan penduduk membuat kawasan tanaman sayur di rumah sendiri manakala kami menyediakan benih cili atau terung secara percuma di Projek Kebun Mini MPKK yang kami sediakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, peluang bagi menambah pendapatan melalui bidang pertanian cukup besar jika diusahakan bersungguh-sungguh.
"Kebanyakan orang kampung ini tidak tahu bagaimana cara memasarkan produk seperti sayur yang ditanam secara komersial. Sebagai jalan penyelesaian, saya beli semua hasil mereka untuk memudahkan mereka tanpa memikirkan bagaimana ia dipasarkan.
"Saya nak bantu asnaf dan belia di kampung ini dengan membuka kios menjual sayur dari ladang untuk melahirkan asnaf usahawan dan akhirnya, keluar dari masalah kemiskinan atau gelaran asnaf itu sendiri," katanya.
Muhammad Saufi berkata, bagi menyahut seruan kerajaan, dia mencari tanah terbiar milik kerajaan atau persendirian untuk diusahakan bagi menambah pendapatan penduduk terutama di sekitar Port Dickson ini.
"Di seluruh Negeri Sembilan ada beribu hektar tanah terbiar dan tanah persendirian tidak diusahakan tetapi boleh menghasilkan pendapatan lumayan jika diusahakan dengan gigih .
"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) harus membantu golongan terjejas ini kerana kita nak galakkan orang ramai menjadikan bidang pertanian sebagai jalan keluar dari masalah kemiskinan," katanya.
Katanya, bagi menjayakan Projek Kebun Mini MPKK ini, pihaknya mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM5,000 keseluruhan dan berharap akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/01/projek-sayur-bantu-asnaf-belia.html