Produk Halal Kekuatan Pks Malaysia Di Caexpo 2019
Afiezy Azaman, Astro Awani                                                                                                

                                Menurut  Wan Latiff, setiap negara yang menyertai CAEXPO 2019 mempunyai  kekuatannya yang tersendiri dan Malaysia kuat dari segi penjualan  produk-produk halal. - Astro AWANI                          NANNING: Produk halal merupakan  kekuatan kepada kebanyakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana  (PKS) yang menyertai Pameran Ekspo ASEAN China (CAEXPO 2019) ke-16 di  Nanning dari 21 hingga 24 September ini.
 Menurut Ketua Pegawai  Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),  Datuk Wan Latiff Wan Musa, itu dapat dilihat berdasarkan analisis  penjualan di CAEXPO tahun sebelum ini.
 “Setiap negara yang menyertainya mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan kita kuat dari segi penjualan produk-produk halal.                                                                                                                       “Majoriti produk yang kita promosikan di CAEXPO ini adalah di bawah  makanan dan minuman jadi kekuatan kita di situ, lagipun kita sememangnya  peneraju pasaran produk halal di rantau ini,” katanya ketika ditemui  pemberita di Nanning, China, pada Khamis.
 Selain itu, Wan Latiff  turut menyatakan syarikat PKS yang menyertai CAEXPO 2019 tidak perlu  bimbang kerana pasaran China begitu besar sehinggakan menggabungkan 10  negara dalam ASEAN masih belum cukup untuk menampung pasarannya.                                                                                                                     Dalam pada itu, beliau turut menasihati syarikat PKS yang ingin dan  sedang menyertai CAEXPO 2019 untuk membuat persediaan rapi seperti corak  permintaan di pasaran China.
 “Perlu buat kajian pasaran China,  penyelidikan dan pembangunan produk serta kualiti dan standard produk  itu sendiri mesti memenuhi kehendak pasaran.
 “Dari segi  teknologinya, tidak boleh lagi membuat produk di belakang rumah kalau  mahu dieksport, kita melihat kepada pengalaman lepas di mana syarikat  tidak mampu memenuhi permintaan pasaran.
 “Dari segi kapasiti  pengeluaran produk, standard produk pengiktirafan melalui sijil-sijil  juga penting untuk mengembangkan perniagaan di pasaran besar China dan  mampu bertahan lama,” jelasnya.   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/09/produk-halal-kekuatan-pks-malaysia-di.html