Prn Melaka Tambakan Laut Akan Dikawal Selamatkan Nelayan
Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk mengawal dan menghadkan kawasan tambakan laut di pesisir pantai Melaka sekiranya diberi mandat pada 20 November ini.
Calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari berkata, tambakan laut sejak kerajaan bertukar tangan dilakukan secara semberono sehingga merisaukan para nelayan kerana menjejaskan hasil tangkapan ikan mereka berikutan meningkatnya pencemaran laut.
“Kita tahu Kerajaan Negeri telah menubuhkan Perbadanan M-WEZ (Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka) melibatkan tambakan laut.
“Kita tahu Kelebang kawasan paling terkesan melibatkan tambakan laut ini dan saya fikir walaupun kita tahu sebahagian tambakan laut itu bagi pembangunan, tetapi ia harus dikawal mengikut keperluan pembangunan itu sendiri, kerana kita tahu tujuan pembangunan bagi menyediakan pekerjaa. Namun pada masa sama kita lihat di kawasan Kelebang ini banyak kawasan tambakan laut yang masih kosong dan tidak memberikan peluang pekerjaan. Sepatutnya itu yang diberi tumpuan oleh kerajaan, bukan melihat kepada tambakan baru.
“Pengalaman kita mentadbir selama 22 bulan sebagai contoh, kita telah membatalkan semua tambakan laut 500 meter sekeliling pulau Upih pada 2018 kerana ruang bagi nelayan kecil harus diambil kira.
“Nelayan kecil, walaupun disebut oleh Pengerusi Perhubungan Umno bahawa laut itu luas tetapi ianya bergantung juga kepada insfrastuktur nelayan sedia ada, kerana kita tahu nelayan kecil tidak boleh pergi terlalu jauh demi keselamatan. Sudah pasti kita mahu laut yang mempunyai ikan cukup dan tambakan laut mesti dihadkan dan dikawal,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke DUN Kelebang yang ditandingi oleh Datuk Gue Teck, pagi tadi.
Menurut calon DUN Bukit Katil itu, PH akan mengkaji semula peranan M-WEZ terutama dalam isu tambakan laut dan hanya akan membenarkan kawasan tertentu sahaja diteruskan proses penambakan.
Begitu juga kawasan perikanan, katanya, akan dipelihara untuk sumber makanan rakyat negeri.
“Seperti kita sebut dulu pulau Upih harus dikekalkan sebagai sebuah pulau dan tidak boleh dihubungkan dengan daratan kerana tambakan laut. Harus mengutamakan tambakan yang sedia ada
“Melaka yang berdepan Selat Melaka, dikaji oleh Jabatan Perikatan, mendapati ikan di sini antara hasil perikanan yang terbaik. Sudah pasti kita melakukan usaha bagi memastikan selat Melaka sebagai sumber makanan kita.
“Waktu kita memerintah dulu kawasan dari Pernu hingga Sungai Rambai tidak boleh ada tambakan laut kerana kawan itu adalah food security,” katanya.
Selain itu, ujar Adly, untuk nelayan di Kelebang beliau berjanji akan membangunkan kemudahan yang lebih baik seperti jeti bagi memudahkan mereka mengangkat dan membawa jaring serta pukat ke laut
Beliau turut bersetuju dengan tuntutan nelayan di situ untuk menggunakan kawasan tanah kerajaan bagi tujuan menambahkan pendapatan.
“Nelayan melalui koperasi mereka ada membuat tuntutan, pada tahun 2020 mereka menuntut sebahagian daripada tanah kerajaan untuk diusahakan sebagai sebahagian program inisiatif nelayan yang menubuhkan koperasi untuk kemajuan dan masa hadapan para mereka
“Saya secara dasarnya setuju supaya nelayan ini mempunyai satu persatuan dan menubuhkan koperasi meningkatkan penghasilan ekonomi, bukan sahaja bergantung kepada hasil laut tetapi mereka memanfaatkan hasil laut itu digabungkan dengan sektor pelancongan di peringkat negeri,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/33501