Prn Melaka Persaingan Pn Bn Perlu Ada Batasannya
Oleh Saiful Haizan Hasam
Azmin melihat pelan binaan baik pulih medan selera pada Majlis Jamuan Teh bersama Persatuan Peniaga dan Penduduk Taman Melawati di Medan Selera Taman Melawati hari ini. NSTP/Azhar Ramli GOMBAK: Perikatan Nasional (PN) akan berkempen secara sihat menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana mengambil kira status lawannya itu yang turut menganggotai kerajaan Pusat.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata memandangkan perlawanan tidak dapat dielakkan, kaedah kempen perlu ada batasannya supaya tidak berlaku lontaran fitnah dan tohmahan kepada parti lawan.
Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mencadangkan supaya kempen di Melaka menggunakan fakta dan keterangan yang baik supaya dapat dinilai oleh pengundi.
"Lawan (di Melaka) ini ada batas dialah, jangan sampai kita melemparkan fitnah dan tohmahan. Saya mencadangkan biarlah kempen (di Melaka) ini kempen yang sihat dan hanya mengemukakan fakta dan keterangan-keterangan yang baik untuk dinilai oleh rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian selepas Majlis Jamuan Teh YB Menteri Kanan Bersama Persatuan Peniaga dan Penduduk Taman Melawati, petang tadi.
Azmin bertanya khabar orang ramai selepas Penyerahan Replika Cek bagi Peruntukan Naik Taraf Bazar Taman Melawati sempena Majlis Jamuan Teh di Bazar Melawati, Kuala Lumpur. NSTP/Azhar Ramli Beliau mengulas pertembungan antara parti-parti kerajaan di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 November ini dan bagaimana bentuk kempen yang akan dilaksanakan PN.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, PN menyerahkan kepada kematangan para pengundi di Melaka untuk membuat keputusan berhubung pertembungan sesama sendiri oleh parti kerajaan.
Ini kerana kerajaan Pusat dibentuk oleh parti-parti berbeza demi memastikan kestabilan negara dan sistem penyampaian kepada rakyat berjalan lancar. Formula terbaik itu telah dilaksanakan hampir dua tahun lalu sejak Mac 2020 dan ia membuahkan banyak hasil positif.
"Apa yang berlaku di peringkat negeri, kita serahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan. Saya percaya rakyat telah melihat bahawa formula perkongsian kuasa yang dibentuk dalam PN telah menghasilkan banyak kejayaan.
"Kematangan pengundi di Melaka dapat menentukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta akan memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan kesihatan rakyat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin menyerahkan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan kedudukannya di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
"Masa akan menentukan, biarlah Presiden BERSATU menentukan. Tanggungjawab saya hari ini untuk menumpukan usaha mengekang penularan COVID-19 dan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara," tegasnya.
Azmin menyerahkan replika cek bagi Peruntukan Naik Taraf Bazar Taman Melawati kepada Yang DiPertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Mohd Fauzi Mohd Yatim, (dua dari kiri) ketika Majlis Jamuan Teh di Bazar Melawati, Kuala Lumpur. NSTP/Azhar Ramli Pada majlis itu, Azmin mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM4 juta untuk menaik taraf Bazar Rakyat Taman Melawati yang telah usang.
Terdahulu sewaktu mengadakan lawatan ke Surau Darussa'adah, Taman Keramat Permai dan Masjid Al-Khairiah, AU3, Azmin turut mengumumkan kelulusan peruntukan masing-masing RM1.1 juta dan RM2.6 juta untuk pembesaran premis bagi menampung peningkatan jumlah jemaah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/prn-melaka-persaingan-pn-bn-perlu-ada.html