Prk Chini Ph Mungkin Sokong Calon Bebas Fuziah
http://cempedakcheese.com								 							

							 													 								 		 		 									 					 		 						 						 							PETALING JAYA: PKR dan Pakatan Harapan (PH) Pahang akur dengan  keputusan pucuk pimpinan pusat gabungan itu untuk tidak bertanding  dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai  ini.
Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, gabungan itu  akan menyokong calon Bebas yang bakal bertanding menentang calon  Barisan Nasional (BN) di situ.
“Itu adalah keputusan selepas perbincangan Majlis Presiden PH, jadi  walaupun PKR Pahang telah bersiap sedia dan memulakan gerak kerja,  tetapi kita terpaksa akur dengan keputusan pimpinan.
“Kita tahu wabak Covid-19 meletakkan risiko tinggi kepada petugas,  selain petugas dari negeri lain tidak boleh merentas negeri untuk  membantu calon.
“Apapun kita akur dan besar kemungkinan akan sokong calon Bebas yang kita rasa layak dan mengikut cita rasa kita nanti.
“Kita akan sokong untuk lawan Umno. Keputusan PKR tidak meletak calon  tidak bermakna petugas kita akan terus tarik ‘handbrake’, kita akan  sokong calon Bebas,” katanya kepada FMT.
Fuziah yang juga pengerusi PKR Pahang berkata, keputusan tidak meletakkan calon tidak bermakna mereka “takut” pada BN.
“Saya sudah buat pengumuman minggu lepas, kita (PKR Pahang) sudah  sedia bertanding, tetapi keputusan dibuat PH pusat itu kena diterima,”  katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) yang  akan disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRK itu juga  tidak memihak kepada pembangkang.
Beliau berkata, walaupun pembangkang mempunyai peluang untuk merampas  kerusi DUN Chini, namun hasil tinjaun yang dilakukan, menunjukkan  kelebihan berada di pihak BN, termasuk penggunaan jentera kerajaan  ketika berkempen.
“Kita tahu Umno akan guna jentera kerajaan. Kita tengok ketika PRK  Cameron Highlands, masa itu kita kerajaan PH, tetapi mereka (BN) guna  agensi kerajaan pusat seperti Felda buat program untuk menteri besar.
“Kita tahu apa yang mereka akan lakukan kali ini. Ia tidak memberi kelebihan kepada kita,” katanya.
Katanya, tinjauan juga mendapati banyak isu rakyat gagal diselesaikan di bawah BN, antaranya masalah bekalan air.
“Antara isu paling besar ialah air. Selama 60 tahun isu air di Chini tidak selesai. Itu rintihan penduduk.
“Juga isu Tasik Chini yang mati, isu pengondolan bukit dan perlombongan haram,” katanya.
Semalam PKR memutuskan untuk tidak akan bertanding dalam PRK Chini Julai ini.
Setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu  yang turut dipersetujui Majlis Presiden PH dibuat selepas mengambil  kira penularan Covid-19 yang belum ditangani sepenuhnya.
DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada 6 Mei.
Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul  Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622  undi, selepas meraih 10,027 undi berbanding 5,405 undi dan 1,065 undi.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/prk-chini-ph-mungkin-sokong-calon-bebas.html