Prestasi Amanah Lebih Baik Dari Pkr Guan Eng Kata
PETALING JAYA: DAP menyifatkan prestasi Parti Amanah Negara (Amanah) lebih baik berbanding PKR berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
Bercakap Kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, dalam PRN itu Amanah hanya kalah tipis dalam 15 kerusi yang ditandingi, berbanding PKR dilihat jauh lebih merosot dalam 20 kerusi yang ditandingi parti itu.
“Kalau kita lihat, DAP telah ada penambahbaikan, kita harap rakan-rakan parti bersama kita dan boleh buat serupa seperti kita. Okay, kita boleh berjaya bersama, maksudnya bukan hanya DAP sahaja yang perlu membuat pembetulan.
“Amanah pun ada. saya rasa Amanah punya prestasi okay. Jika dibanding dengan PKR, dia (Amanah) agak baik jugalah. menang pun besar. Dan dia punya beberapa kerusi, dia kalah tipis, Bukan macam PKR. Kalau berbanding PKR, dia (Amanah) lebih baik sikit,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat DAP di sini, semalam.
Pada PRN Johor, DAP yang bertanding bertanding 14 kerusi, menang 10 daripadanya manakala PKR menang satu daripada 20 kerusi ditandingi dan Amanah satu daripada 17 kerusi.
Dalam pilihan raya berkenaan, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan yang kuat apabila menang 40 kerusi daripada 56 calon yang bertanding.
Menurut Guan Eng, antara faktor kemenangan DAP dan Amanah adalah penggunaan logo Harapan yang dilihat sebagai simbol kebersamaan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Saya rasa di sini yang penting ialah kerana kita gunakan logo bersama. Jadi, kalau nak pilih gabungan, yang pertama janganlah gunakan logo berasingan, tidak masuk akal lah, tidak masuk akal. Jadikan pengajaran benda ni, kita harap selepas ini kita akan guna logo yang sama, bersama PH lah.
“Kalau Perikatan Nasional pun boleh gunakan logo Perikatan, mereka pun boleh menang, mengapa tidak PH yang lebih lama lagi,” soalnya.
Menjelaskan perkara itu, perbincangan mengenai penggunaan logo telah pun dibuat sebelum PRN Johor, namun Guan Eng berkata, hanya DAP dan Amanah membuat keputusan yang sama, namun tidak pada PKR yang memilih menggunakan logo sendiri.
“Ya, tetapi dia (PKR) tak mahu. Jadi, kita pun tidak boleh paksa. Kalau dia tak keras, okay lah,” ujarnya.
Berikutan siri kekalahan dalam beberapa PRN, Guan Eng bagaimanapun berkata, kedudukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dihormati sebagai Presiden PH.
Namun, katanya, jika ada sebarang perubahan, ia perlu dibincangkan di peringkat dalaman.
“Kita kena hormati dia (Anwar) sebagai pemimpin sekarang. Untuk masa depan, berbincang kemudianlah. Tapi kalau ada perubahan. Itu perubahan adalah sesuatu yang kita kena terima,” ujarnya lagi.
Guan Eng turut mengingatkan perjuangan PH perlu diperbetulkan kembali untuk rakyat dan bukan melihat kepada kepentingan mana-mana pihak.
“Pertama, jangan lihat dari segi personaliti, lihat dari segi hala tuju parti, jadi buatlah pembetulan, dan pada masa yang sama janganlah kita berikan tumpuan sangat bahawa yang penting ialah siapa jadi perdana menteri, itu saya rasa tidak betul kerana keutamaan harus diberikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2022/04/prestasi-amanah-lebih-baik-dari-pkr.html