Presiden Kafa Kecewa Disiplin Pemain Pasukan Kelantan
Bernama
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan kecewa dengan tahap disiplin pemain pasukan Kelantan ketika menghadapi saingan Liga Premier ketika ini.
Bibi Ramjani berkata walaupun pasukan Kelantan ketika ini diuruskan oleh Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd namun beliau berhak bercakap berkaitan masalah tersebut bagi kepentingan KAFA dan pasukan Kelantan.
"Saya menerima maklumat disiplin pemain tidak memuaskan terutamanya ketika sesi latihan...ada pemain yang datang lewat dan tidak memberikan tumpuan kepada latihan.
"Tidak hairan jika prestasi pasukan tidak memuaskan pada perlawanan sebelum ini jika masalah ini ada dalam diri pemain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selepas empat perlawanan Kelantan hanya memperoleh empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Presiden wanita itu berkata walaupun KAFA ketika ini tidak mengurus secara langsung pasukan Kelantan dan hanya memberikan tumpuan kepada pembangunan namun aspek tersebut perlu diberikan perhatian oleh KRW.
"Banyak benda tidak memuaskan, jadi KRW perlu lebih mengambil berat berkaitan pasukan untuk menjaga masa depan KRW dan pasukan.
"Begitu dengan susun atur kerja perlu lebih kemas, bukan saya mahu mempertikaikan cara kerja mereka namun perlu lebih tersusun bagi memastikan masalah-masalah seperti disiplin dapat diatasi," katanya.
Katanya pemain juga tidak seharusnya hanya mahu menuntut bayaran gaji dengan tarikh pembayaran namun harus juga memikirkan sumbangan kepada pasukan.
"Etika sebagai pemain tidak ada hanya tahu mahu gaji dibayar dengan elok tetapi apa sumbangan diberikan kepada penyokong dan pengurusan rasanya setakat ini balasan pemain tidak setimpal dengan kerja keras pihak pengurusan telah berikan.
"Jadi kedudukan pasukan ditentukan oleh pemain selain kerjasama daripada semua pihak," katanya.
- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/presiden-kafa-kecewa-disiplin-pemain.html