Ppbm Parti Semusim Di Johor Jika Terus Bersama Pn Kata Maszlee
FMT Reporters
Berdasarkan bilangan undi pada PRU-14, tahap sokongan orang Melayu kepada
PPBM 29.6% sahaja, kata Maszlee Malik.PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata jika PPBM berterusan dalam Perikatan Nasional (PN), parti itu akan termaktub dalam sejarah sebagai “parti satu musim pilihan raya” di Johor.
Ini kerana faktor PPBM menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hasil undi bukan Melayu berbanding undi Melayu.
“PPBM berjaya meraih undi sebesar itu kerana sumbangan undi bukan Melayu sebanyak 133,550…berbanding undi Melayu yang hanya sebanyak 81,150,” katanya di Facebook.
Berdasarkan bilangan undi, Maszlee berkata tahap sokongan orang Melayu kepada PPBM 29.6% sahaja.
Dengan penyertaan PPBM dalam PN, Johor bukan lagi milik PPBM seperti semasa ia berada dalam Pakatan Harapan.
“Bukan sekadar menteri besar Johor bukan dari PPBM, malah PPBM menjadi pasif dan tidak sedominan Umno,” katanya.
“Agak menarik, Umno yang dahulunya kalah dan ditolak rakyat Johor kini kembali memerintah Johor dengan pengorbanan besar dari PPBM yang memberikan segalanya kepada Umno,” katanya.
Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad mengangkat sumpah menteri besar pada 28 Feb, susulan pembentukan gabungan baru yang terdiri daripada PPBM dan Barisan Nasional selepas perpecahan dalam Pakatan Harapan.
PH Johor hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri selepas PPBM keluar gabungan itu.
Dalam pada itu, Maszlee menjangkakan cabaran besar bagi PPBM dalam rundingan kerusi untuk pilihan raya umum ke-15.
Katanya, PPBM yang “sangat bermurah mati” tentu mengharapkan PAS dan Umno memberikan laluan kepadanya untuk bertanding di sekurang-kurangnya 11 kerusi milik PPBM di Johor kini.
“Tanggapan mereka pertandingan 1 lawan 1 bertembung PH, PPBM puak Muhyiddin Yassin akan memperoleh kemenangan mudah.
“Namun ia tidak semudah itu. Situasinya dari 11 kerusi PPBM kini 3 kerusi merupakan kerusi tradisi Umno,” katanya.
Maszlee mengingatkan PPBM tewas di tangan Umno di 3 kerusi itu pada PRU-14, dan sekalipun menang pada PRU-15 nanti, ia pada dasarnya kerusi Umno.
Manakala bagi 8 kerusi yang lain, Maszlee meramalkan hanya 1 kerusi yang “agak selamat” untuk PPBM, iaitu Bukit Kepong.
“3 sudah pasti kalah, terutamanya kerusi Puteri Wangsa kerana ianya kawasan campur, yang mana PPBM memenanginya kerana pengundi bukan Melayu yang menyokong PH.
“Manakala 4 lagi akan kalah ataupun menang tipis berdasarkan demografi bukan Melayu yang besar, termasuk kerusi Gambir milik perdana menteri,” katanya.
Maszlee tertanya adakah PPBM rela “melukut di tepi gantang” dengan Umno selamanya parti pemerintah di Johor.
“Apakah ini juga harapan ahli PPBM di Johor ketika mereka meninggalkan Umno dan menyertai PPBM pada awal penubuhannya dulu?” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/ppbm-parti-semusim-di-johor-jika-terus.html