Portable Travel Bidet
Portable Travel Bidet iaitu botol dengan muncung semburan merupakan satu keperluan jika kita bermusafir ke negara penduduk bukan majoriti Muslim. Ini kerana pada kebiasaannya tandas awam di negara tersebut tidak menyediakan paip air untuk bersuci
Kembara ke Guangzhou, China merupakan pengalaman pertama saya di negara yang tiada paip air di tandas awam. Memang terasa sukar, tetapi itulah namanya pengalaman. Pada masa tersebut saya tak tahu kewujudan ‘travel bidet’. Jadinya saya gunakan botol air mineral sebagai pengganti paip air
Baru-baru ini ke Bangkok, Thailand saya gunakan portable travel bidet yang dibeli melalui Shopee. Sebelum membeli, saya buat carian dan baca ulasan mereka yang dah menggunakan travel bidet. Sebabnya ada beberapa jenis travel bidet yang boleh kita pilih
Saya pilih jenis berikut :
Sumber foto : ShopeeBotol dengan kapasiti 500 ml dan disertakan dua jenis muncung semburan. Boleh tukar muncung semburan ikut selesa dan keperluan kita. Botolnya pula tak lembut sangat dan tak keras, mudah untuk kita picit
Sumber foto : ShopeeBahagian penyambung muncung semburan tu boleh gerak tau, mudahlah nak laraskan hala semburan. Hujung alat semburan disediakan penutup, tapi agak mudah tanggal. Kena hati-hati guna supaya penutup kecil ni tak tercampak dan hilang
Satu lagi yang bagus dan penting jugaklah, ada getah di penutup botol. Jadinya bila kita isi air dalam botol ni dan letak dalam beg, tidaklah terkeluar airnya. Tapi air tetap boleh terkeluar melalui muncung semburan kalau kita tersilap cara letak dalam beg atau tertekan botol. Untuk mengelakkan hal ini, kita cuma isi air bila tiba masa nak gunakan ia atau kita isi separuh je dan pastikan letak botol menegak dalam beg. Kalau setakat tertekan sikit tidaklah terkeluar air tu kan
Portable travel bidet saya. Pengeposan jauh dari China. Harganya RM11.20 tak termasuk caj pos. Tapi saya cuma perlu bayar RM10.29 termasuk pos selepas tolak diskaun, baucer dan Shopee coins
Menurut saya, ia pembelian yang berbaloi. Saya rasa lebih mudah digunakan berbanding botol air mineral. Bila guna travel bidet ni tiada atau kuranglah risiko percikan air di lantai tandas yang kering tu. Segan jugaklah kan kalau lantai tandas mereka kering, tapi bila kita guna jadi basah. Kalau terbasah jugak, kita lap dengan tisu
Tapi lain orang lain pendapatnya. Ada juga yang kata setelah cuba guna travel bidet, mereka tetap lebih suka guna botol air mineral. Mungkin juga mereka belum jumpa jenis travel bidet yang bagus. Bagi saya, jenis travel bidet yang saya ada sekarang ni walaupun bukan yang terbaik tetapi ia memenuhi keperluan saya
Botol begini juga sesuai dibawa semasa aktiviti mendaki atau ke tempat yang terhad sumber air. Nak gunakan untuk berwudhuk pun mudah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/09/portable-travel-bidet.html