Pm Yakin Jenama Kereta Nasional Baharu Pacu Industri Automotif
tyrazalhe Sektor automotif dapat jana 'spin-off' bagi keseluruhan ekonomi negara
SERDANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin hasrat Malaysia untuk mewujudkan jenama kereta nasional baharu adalah penting dan akan memesatkan lagi pembangunan industri automotif negara.
“Projek ini dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi baharu serta tenaga kerja pakar baharu terutama dalam mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terkini” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Autoshow 2019, di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, perancangan untuk pembangunan industri automotif adalah berdasarkan pendekatan untuk membudayakan Malaysia dengan teknologi-teknologi masa depan yang canggih, justeru menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang sistematik dan lestari.
“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan teknologi tinggi, yang menumpukan kepada pelaburan strategik dalam pembangunan rantaian bekalan tempatan dan peluang perniagaan baharu yang bersifat inovatif,”katanya.
Dr Mahathir berkata, sektor automotif juga dapat menjana “spin-off” bagi keseluruhan ekonomi Malaysia agar dapat diselaraskan dengan perkembangan global.
Katanya, di Malaysia, terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan merangkumi jenama nasional serta antarabangsa, di samping lebih dari 700 vendor, 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis, dan juga lebih 700,000 individu yang bekerja di dalam sektor automotif dan mobiliti.
Memetik statistik Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Dr Mahathir berkata, 598,714 unit kereta dijual tahun lepas, yang merupakan peningkatan 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan daripada jumlah itu, 62 peratus adalah kenderaan cekap tenaga.
“Dari segi eksport pula, Malaysia mengeksport kenderaan berjumlah RM2 billion, dan eksport komponen automotif tempatan pula mencecah RM12 billion,” katanya.
Dr Mahathir berkata, penggunaan aplikasi robotik dan Internet of Things (IoT) dalam sektor automotif akan mempunyai kesan limpahan yang akan mampu menggalak pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor lain seperti pertanian, kesihatan dan pertahanan.
Beliau berkata, pelancaran Dasar Negara mengenai Industri 4.0 pada Oktober tahun lepas merupakan usaha kerajaan agar pembangunan industri di Malaysia bergerak selari dengan perkembangan global termasuk industri 4.0.
“Dasar itu merangka transformasi industri untuk menjadi lebih pintar dan mampan yang akan dipacu oleh manusia, proses dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, dasar itu menyediakan rangka kerja dalam transformasi digital Malaysia bagi sektor perkilangan serta perkhidmatan, oleh itu pihak industri perlu mengambil peluang itu untuk membawa perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai, katanya.
Dr Mahathir berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menjalankan kajian semula Dasar Automotif Nasional, yang akan meliputi keseluruhan ekosistem automotif dan disokong oleh elemen teknologi baru iaitu Next Generation Vehicle (NXGV), Mobility as a Services (MaaS) dan Revolusi Industri 4.0 termasuk Artificial Intelligence (AI).
“Dasar Automotif Nasional yang akan diperkenalkan adalah satu dasar yang holistik yang merangkumi pembangunan industri automotif yang komprehensif seperti pembangunan rantaian bekalan, modal insan, aftermarket dan lain-lain,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Malaysia Autoshow 2019, anjuran Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) itu dijangka menarik minat seramai hampir 350,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya, 32 syarikat pengeluar kenderaan (OEM) dan 170 pampamer dari tujuh negara mengambil bahagian dalam pameran kenderaan terbesar di Malaysia itu.
Pada acara tersebut, Dr Mahathir turut melancarkan Perodua Bezza baharu edisi terhad serta Proton Iriz dan Persona 2019.- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/pm-yakin-jenama-kereta-nasional-baharu.html