Pkr Umum Calon Selepas Tarikh Prn Johor Ditetapkan
Oleh KHAIRUL MOHD ALI AKMAL  Nasrullah Mohd. Nasir menyampaikan sumbangan ayam segar kepada penduduk  secara pandu lalu di sekitar Taman Suria, Johor Bahru. JOHOR  BAHRU: PKR hanya akan memuktamad dan mengumumkan senarai nama calon  yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting minggu  depan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan  (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, cabang dan sayap PKR iaitu  Wanita serta AMK sendiri sudah menyerahkan senarai calon kepada  kepimpinan pusat.
Jelasnya, ketika ini semua pihak sedang menunggu senarai calon akhir dimuktamadkan kepimpinan tertinggi pusat.
“Ketika ini kita juga masih lagi  tunggu keputusan dibuat SPR kerana banyak khabar angin ada negeri lain  turut goyang (situasi politik tidak stabil). 
“Jadi bagi saya kita tunggu dahulu  SPR tetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi kemudian baru kita  muktamad bila nak umum calon-calon PKR,” katanya ketika ditemui  pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman  Suria, di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau akan  turut bertanding dalam PRN Johor, Ahli Parlimen Johor Bahru itu meminta  persoalan tersebut diajukan terus kepada kepimpinan tertinggi pusat.
“Saya hanya buat kerja seperti biasa kerana Parlimen Johor Bahru masih di bawah PKR, jadi ini memang tanggungjawab saya.
“Sama ada nama saya ada dalam senarai calon PKR yang akan bertanding nanti, itu boleh tanya dengan kepimpinan pusat,” ujarnya.
Sementara  itu, beliau turut memberitahu AMK menyasarkan 30 peratus atau  sekurang-kurangnya enam kerusi daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri  (DUN) yang diperuntukkan kepada PKR dalam PRN Johor ini.
“Bagi saya, apa yang penting bukan  sahaja meletakkan calon yang berpotensi tinggi untuk menang, tetapi juga  mempunyai kelayakan dan ciri-ciri kepimpinan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Akmal turut  memaklumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di Johor  esok bagi mempengerusikan mesyuarat bersama kepimpinan di peringkat  negeri.
“Beliau kemudiannya akan turut  menyertai beberapa program PKR yang telah dijadualkan berlangsung di  seluruh Johor pada hari Sabtu,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/02/pkr-umum-calon-selepas-tarikh-prn-johor.html