Pkpb Lembah Klang Cetus Pembelian Panik
PETALING JAYA: Orang ramai membanjiri pasar raya dan kedai runcit  sekitar Lembah Klang hari ini berikutan pengumuman perintah kawalan  pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang  akan dilaksanakan pada Rabu.
Lelaki hanya dikenali sebagai Dave dari Bandar Kinrara 3 berkata, dia  membeli makanan anjing di pasar raya berdekatan tempat tinggalnya  kira-kira 5 petang apabila melihat ramai orang “membanjiri” dan meletak  barangan ke dalam troli.
“Ini betul-betul huru-hara dan ia sebenarnya tidak perlu. Sebahagian  pasangan menolak troli masing-masing,” katanya sambil menambah “ia bukan  akhir zaman”.
Dave berkata, dia tidak faham mengapa orang ramai bertindak  sedemikian kerana rakyat pernah melalui perintah kawalan pergerakan  sebelum ini, di mana kedai masih dibuka untuk menjual barangan runcit  dan keperluan lain.
“Paling teruk apabila mereka keluar bersama anak-anak atau ibu bapa  yang uzur, ini sesuatu yang sepatutnya dielakkan. Saya tidak nampak  rakyat memainkan peranan untuk mengurangkan jangkitan dengan bertindak  seperti ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob  mengumumkan PKPB akan berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 Oktober hingga  27 Oktober ini kerana peningkatan mendadak kes Covid-19 di Klang,  Petaling, Gombak dan Hulu Langat.
Sementara itu, Cassandra B, seorang penganalisis perniagaan yang  tinggal di Ara Damansara berkata, dia bergegas ke kedai runcit terdekat  selepas mengetahui berita berkenaan melalui media sosial.
Wanita itu berkata, dia bimbang rak barangan akan kosong dengan cepat  dan akan berlaku barisan panjang di pasar raya seperti dialami ketika  perintah kawalan pergerakan pada Mac lalu.
“Ramai orang di pasar raya dan ada barang keperluan sudah dibeli mereka sebelum saya sampai,” katanya.
Katanya, dia tergesa-gesa mendapatkan bekalan hari ini kerana mahu mengelak daripada keluar rumah selepas ini.
Di Kajang, seorang pelanggan pasar raya dikenali sebagi Amirah  berkata, dia sudah nampak barisan panjang di premis pertama  dikunjunginya pada 6 petang.
Beliau terpaksa pergi ke 2 pasar raya untuk mendapatkan barang keperluan seperti telur, roti dan beras.
Bagaimanapun katanya, dia mendapati situasi pembelian panik kali ini kurang berbanding pelaksanaan PKP pada Mac lalu.
#Sumber :  FMT     
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/10/pkpb-lembah-klang-cetus-pembelian-panik.html