Pilih Masa Ziarah Tidak Bebankan Tuan Rumah
Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan. Hal itu dapat merapatkan hubungan yang renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing.
Hadirlah rumah terbuka dengan perasaan ikhlas, bukannya dengan harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah kita pula.
Sambutlah Aidilfitri dengan sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.
Bayangkan jika kita beraya sepanjang Syawal? Sepatutnya selepas menyambut Aidilfitri secara sederhana, tumpuan yang perlu diberikan ialah kepada urusan kehidupan seharian agar lebih berjaya dan cemerlang. Sesungguhnya Islam menggalakkan kita agar bersederhana dalam semua perkara.
Ziarah-menziarahi digalakkan dalam Islam kerana ia boleh mengeratkan silaturahim. Namun, orang Melayu akan membuat program ziarah khusus pada bulan Syawal dengan meriahnya.
Ia sudah dibudayakan dan tidak lagi atas dasar tuntutan agama. Sesuatu yang dibudayakan kena kelihatan meriah. Sebab itu, mereka kena beli baju dua tiga helai atau mungkin lebih.
Pada masa yang sama, mereka kena keluarkan belanja untuk membeli makanan. Belanja yang dikeluarkan berlipat ganda. Kalau tidak, ziarah dan rumah terbuka tidak meriah.
Tuan rumah terpaksa berhabisan untuk mengadakan rumah terbuka. Sebab, kalau tidak 'sedap' dan tidak 'mewah' tuan rumah akan malu. Tetamu akan membawang sehingg Aidilfitri tahun hadapan.
Adat Islam mengingatkan agar kita tidak menyusahkan tuan rumah. Makanlah apa yang ada. Bahkan, jika diketahui tuan rumah tidak berkemampuan, elok dibawakan makanan kepada mereka.
Ziarah menziarahi memang digalakkan, tetapi kenalah tengok masa yang sesuai. Jangan pakai redah sahaja. Jika majlis jemputan pada waktu malam, jangan sampai lewat malam. Berilah peluang tuan rumah beristirahat awal. Banyak masa dan tenaga telah digunakan untuk mengadakan persiapan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/06/der.html