Pi Mai Pi Mai Macam Tu Juga
FAISAL MUHAMAD ( Gambar hiasan ) BANYAK juga kes. Bukan satu dua kes. Semalam pun saya ada menerima satu lagi kes pemandu mabuk. Saya sempat memeriksa dalam aplikasi laman sesawang MHROADS yang diguna pakai oleh lebuh raya untuk menyemak statistik kemalangan melibatkan pemandu mabuk.
Dalam aplikasi tersebut, direkodkan sepanjang 2019 ada lebih kurang 14 kes melibatkan pemandu mabuk yang terlibat dengan kemalangan. Dan yang terlibat boleh dikatakan pemandu pelbagai bangsa. Ada Melayu, Cina dan India.
Semalam pula hampir jam 4 pagi, satu hantaran WhatsApp diterima daripada peronda lebuh raya saya. Memberitahu ada kes seorang lelaki telah terbabas melanggar pokok di bahu jalan. Pemandu cedera parah dan sempat dibawa keluar oleh orang ramai dari keretanya yang terbakar.
Untuk tahun ini sahaja iaitu bulan Januari pada tahun 2020, sudah ada dua kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk. Lagi menyedihkan apabila kemalangan melibatkan orang yang tidak bersalah pula menjadi mangsa.
Saya ada juga mencari maklumat tentang akta yang berkenaan pemandu mabuk ini. Ia melibatkan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kemudian ada Seksyen susulan seperti 45A dan45B.
Dalam Seksyen 44(1) itu, ada memberitahu juga hukuman yang dikenakan. Katanya, hukuman yang akan dikenakan ialah kesalahan akan disabitkan penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun.
Denda pula tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih daripada RM20,000. Yang lain-lain pula melibatkan pembatalan atau penggantungan lesen. Tertakluk kepada mahkamah untuk menentukannya.
Melihat kepada hukuman tersebut tidaklah berat hukumannya. Lebih-lebih lagi jika kita bandingkan mereka yang menjadi mangsa kepada pemandu mabuk. Mereka ini boleh mati atau kekal cedera sepanjang hayat mereka.
Yang mempunyai suami, isteri dan keluarga akan kekal kehilangan orang tersayang. Yang cedera kekal pula mungkin kehilangan pekerjaan selama-lamanya. Yang mabuk pula mungkin akan dipenjara dan denda. Selain itu akan mempunyai rekod jenayah selepas habis tempoh hukuman tersebut.Saya ada terbaca juga saranan untuk mengkaji semula hukuman kepada pemandu mabuk yang ditanyakan kepada Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat pada Mac 2019. Menteri memaklumkan akan meneliti dan sehingga kini masih belum ada perkembangan terbaru.
Kebiasaannya yang berlaku di Malaysia begitulah. Bak kata peribahasa Melayu lama kita, nasi sudah menjadi bubur. Dah menjadi bubur barulah berebut untuk memberi kenyataan pula. Kononnya akan mengambil tindakan itu dan ini. Banyak sudah contoh yang berlaku tetapi tidak mahulah saya menyebutnya.
Mabuk
Apabila kita membuat carian di laman sesawang dengan kata kunci pemandu mabuk, sudah ada juga berita sejak pada tahun 2011 lagi. Dalam berita tersebut menyatakan ada 146 kes telah direkodkan melibatkan pemandu mabuk dan 115 kes telah dituduh di mahkamah.
Petang semalam pun saya ada berbual dengan seorang aktivis Pak Din. Perbualan itu berlaku sebelum terjadinya peristiwa kemalangan pemandu mabuk di lebuh raya saya.
Kat Pak Din: “Geram betul aku baca berita yang pemandu mabuk langgar motor tu. Patut kena gantung ajer. Dahlah mabuk lepas tu langgar orang mati pula.”
Saya hanya angguk-angguk. Kemudian kata Pak Din lagi: “Kes-kes yang sebelum ni melibatkan pemandu mabuk apa pula ceritanya ya? Kau ada dengar depa kena hukum tak? Senyap sahaja. Mungkin tak keluar berita agaknya?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala pula. Kemudian kata Pak Din lagi: “Kalau kena hukuman pun rasanya macam tak berat sahaja. Kena ada hukuman yang lebih berat lagi! Aku cadangkan depa ni kena sapu pasir di lebuh raya. Jimat kos lebuh raya kau. Nanti boleh turun harga tol pula.”
Saya tersenyum sahaja. Dan sekali lagi seperti kata peribahasa Melayu lama, ah, tidak perlulah rasanya saya menyebutnya lagi. Pi mai pi mai macam tu juga.
* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/pi-mai-pi-mai-macam-tu-juga.html