Ph Tunai Manifesto Hasil Kerajaan 2019 Melonjak
Faiz Fadzil
Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 Meningkat 13.5.% Bukti PH Tunai Manifesto
Laporan Ketua Audit Negara tahun 2019 bahawa hasil Kerajaan Persekutuan melonjak 13.5% atau RM31.5 bilion ke RM264.4 bilion adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan janji manifesto untuk memulihkan ekonomi negara. Prestasi baik ini mampu dicapai walaupun cukai GST dihapuskan dan cukai korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikurangkan. Strategi PH mengurangkan impak cukai terhadap rakyat berpendapatan rendah dan perniagaan berskala kecil, dan pada masa yang sama, mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai, jelas berkesan.Laporan Ketua Audit Negara membuktikan kritikan dan tohmahan beberapa pihak, khususnya, Barisan Nasional, berkaitan penghapusan GST adalah salah. PH telah meningkatkan pendapatan negara walaupun tanpa GST, yang telah menyebabkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Hasil laporan tersebut juga menunjukkan dasar ekonomi PH berada di landasan yang betul berpremiskan prinsip integriti dalam tatakelola negara. Peningkatan ini antara lain didorong oleh pengurusan fiskal yang berkesan dan berhemah dengan menerapkan elemen tadbir urus baik dan penjimatan.Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga menunjukkan keutuhan yang signifikan pada kadar 4.3 peratus pada 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap. Pelaburan langsung asing yang diluluskan juga mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah ketika pemerintahan PH di mana bagi tahun 2019, nilainya ialah RM82.4 bilion, manakala pelaburan domestik mencecah RM125.5 bilion. Keyakinan pelabur ini sudah pasti disumbang oleh kestabilan politik PH dan kesungguhan menghapuskan korupsi.Di samping itu, langkah kerajaan PH mengkaji semula 121 projek infrastruktur bernilai RM13.93 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus & tender terhad oleh BN telah menjimatkan RM805.9 juta. 121 projek ini tidak termasuk projek mega seperti ECRL, LRT3, MRT2 yang melibatkan penjimatan ECRL (RM21.5 bilion), LRT3 (RM15.02 bilion) & MRT2 (RM8.82 bilion) dengan penjimatan hampir RM45 bilion. Selain itu, Fasa 2 Klang Valley Double Track (KVDT2) juga telah dikurangkan harga dengan penjimatan RM790 juta.Kemampuan PH meningkatkan hasil negara melalui dasar-dasar ini seharusnya dipandang tinggi oleh rakyat negara ini. Peluang harus diberikan semula kepada PH untuk mentadbir negara ini supaya agenda ekonomi yang tuntas ini dapat diteruskan untuk memulihkan ekonomi negara terutama berhadapan pandemik Covid-19. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ternyata gagal untuk menguruskan ekonomi negara dengan mampan apabila MIDF melaporkan setakat akhir Oktober 2020 sahaja, aliran keluar bersih dana asing melonjak ke RM23 bilion berbanding RM11.14 bilion bagi tahun 2019. Justeru pentadbiran PH yang bersih dan cekap ini harus menjadi pilihan rakyat. Jadikan perjuangan membenam kleptokrasi pimpinan Najib Razak bukan sesuatu yang sia-sia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/30504