Ph Serah Kepada Anwar Teruskan Rundingan Bentuk Kerajaan Baharu
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak usul Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggugurkan Tan Sri Ariff Yusuf sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker).
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden turut menekankan perlunya negara menumpukan usaha membanteras wabak Covid 19 dan kesan pandemik ekonomi. Kemelut politik tidak wajar dibebankan ke atas rakyat yang sedia menghadapi kesukaran hidup.
“Majlis Presiden memutuskan secara sebulat suara menolak usul Tan Sri Muhyiddin menggugurkan Tan Sri Ariff sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Majlis Presiden juga konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak COVID-19.
“Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka
Kerajaan-Kerajaan Negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” kata kenyataan tersebut.
Mengenai pencalonan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai PM ke 9 oleh Tun Mahathir baru-baru ini dan usaha membentuk kerajaan PH Plus di Putrajaya, Majlis Presiden menyerahkan hal itu kepada kebijaksanaan Pengerusi PH untuk meneruskan rundingan.
“Majlis Presiden telah membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai Kerajaan Persekutuan. PH komited dengan pendirian asal DS Anwar sebagai calon PM, dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan Shafie Apdal sebagai calon PM.
“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak. Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada DS Anwar meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” kata kenyataan itu lagi selepas usai mesyuarat di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/28614