Ph Jika Kami Gagal Atau Mungkir Janji Tolaklah Kami
Oleh SYAHIR SULAIMAN

 PERDANA Menteri, YAB  Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan bahawa rakyat akan menjatuhkan  kerajaan sekiranya Pakatan Harapan gagal menunaikan janji pilihan raya.
Menurut Tun, “Sekarang rakyat sedang  memerhati kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini pembangkang untuk  menunaikan janji-janji pilihan raya. Namun malangnya Pakatan Harapan  kini mendapati mereka tidak mampu melunaskan semua janji mereka kepada  rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto”.
“Jadi untuk pusingan seterusnya, rakyat akan menumbangkan kerajaan,” ujar beliau.
Situasi yang digambarkan ini pernah disaksikan oleh rakyat di negara India dan Jepun.
Di  India, Parti Janata (JNP) telah mengalahkan Parti Kongres (INC) dalam  pilihan raya 1977 dan menyaksikan buat pertama kalinya Perdana Menteri  dilantik bukan daripada Parti Kongres yang memerintah India sejak  kemerdekaan 1947.
Namun tidak sampai dua tahun  pentadbirannya, Perdana Menteri Morarji Desai telah dipaksa untuk  melepaskan jawatan dan seterusnya Parti Janata ditumbangkan dalam  pilihan raya 1980 atas faktor kegagalan membangunkan ekonomi dan  perpecahan dalaman sesama mereka.
Manakala di Jepun, parti pembangkang  utama, Parti Demokratik Jepun (DPJ) telah berjaya mengalahkan Parti  Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya 2009 yang merupakan parti  pemerintah selama lebih 50 tahun.
Namun DPJ hanya mampu bertahan selama  tiga tahun dan dikalahkan dalam pilihan raya 2012 akibat kegagalan DPJ  untuk menunaikan janji-janji reformasi dan populis yang dikemukakan  mereka dalam pilihan raya 2009.
Berbalik kepada situasi yang sedang  dialami di Malaysia, ramai yang mungkin terlupa akan sebuah akujanji  bertulis dan ditandatangani pada 8 Mac 2018 di Putrajaya.
Perakuan bertulis ini termaktub di dalam  kata pengantar ‘Buku Harapan’ setebal 195 muka surat yang memuatkan  segala janji manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14 bertemakan ‘Membina  Negara, Memenuhi Harapan’, antaranya menyebut:
“Buku ini mengandungi janji-janji  kami PAKATAN HARAPAN kepada rakyat Malaysia apabila menubuh Kerajaan.  Inilah dasar dan tindakan-tindakan yang akan kami laksana untuk memulih  semula dan MEMBINA NEGARA serta MEMENUHI HARAPAN rakyat”.
“Saya mewakili seluruh anggota  Pakatan Harapan dengan rendah diri dan tawakkal kepada Allah Ta’ala  menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab berat ini. Kami merayu  agar rakyat memberi kami peluang untuk membuktikan kebolehan kami untuk  memperbaiki negara untuk rakyat”.
“Dengan terbitnya buku ini, kami  juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi  oleh rakyat, sejauh manakah kami berjaya memenuhi janji-janji ini.”
“Jika kami gagal atau mungkir janji, tolaklah kami melalui proses demokrasi.”
Inilah hakikat sebuah janji Malaysia Baharu yang kini sudah menjadi realiti, dan akan terus menjadi saksi.
Sabda Rasulullah S.A.W. (maksudnya):  “Tanda-tanda orang munafik ada tiga; apabila berbicara dia dusta,  apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianati”.  (Riwayat Bukhari)
*SYAHIR SULAIMAN, Pengarah Strategi Pemuda PAS
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/ph-jika-kami-gagal-atau-mungkir-janji.html