Peluang Ph Menang Prk Semenyih Tergugat Akibat Gagal Tunai Janji
Pengundi di Semenyih memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya kecil (PRK) 2 Mac ini atas kegagalan gabungan itu menunaikan janji pilihan raya umum lalu dan menangani isu kenaikan kos sara hidup.
Penduduk Flat Bandar Tasek Kesuma, Mohamad Abdul, 54, berkata ramai pengundi yang menyokong PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), merasa tertipu kerana gabungan itu gagal menunaikan manifestonya.
“Dulu, anak muda sokong PH dalam PRU sebab janji nak hapuskan hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), tapi lepas menang tidak buat, anak muda sekarang cukup marah kepada kerajaan.
“Harga barang tidak turun lepas (cukai barang dan perkhidmatan) GST mansuh, makin naik ada. Kami tidak tahan lagi kena tipu, paling terkesan harga barang basah makin mahal sebab kita guna hari-hari, sebab bukan semua rakyat bergaji besar.
“Kami juga tidak rasa peniaga suka hati menaikkan harga barang sebab mereka ambil dari kilang dan pemborong, kalau ambil pun sudah mahal, jual pada kami lagi mahal,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi penduduk, Norhaniza Salleh, 39, mengeluh tindakan PH memotong sesetengah subsidi dan bantuan kewangan dihentikan.
“Subsidi kena potong, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sudah tidak ada. Bantuan sara hidup yang dibuat PH bukan semua dapat, bantuan sekolah tidak ada.
Keadaan program “Santai anak muda bersama calon PH” yang diadakan di Semenyih, malam tadi.
“Sekarang rakyat sudah sedar, bila kerajaan bertukar, kami boleh buat perbandingan, mana lagi baik dan mana teruk.
“Dulu zaman BN, orang kata mereka jahat, tapi rakyat mereka bantu, PRK kali ini kami tekad mahu kembali sokong BN, 9 bulan PH menang, di Semenyih ini mereka tidak buat apa-apa, subsidi air pun sudah tidak ada.”
Zainul Mahmud, 48, kecewa dengan alasan dibebani hutang terlalu banyak, setiap kali beliau memohon bantuan kerajaan.
“Itulah alasan yang sering mereka berikan bila kami minta bantuan, hutang negara banyak. Kalau tidak percaya, tanyalah penduduk atau rakyat yang lain, alasan itu yang PH berikan.
“Mereka cakap tidak ada duit, tapi bila buat program parti, buat di hotel-hotel mewah, sudah tidak ada ceramah-ceramah bawah khemah seperti jadi pembangkang dulu.
“Pegawai pengiring menteri, wakil rakyat ada 4, 5 orang, itu tidak termasuk lantikan politik. Kalau tidak ada duit, buat apa pegawai ramai-ramai, buat program di hotel-hotel mewah? Itu semua duit kami, tapi rakyat merempat kesusahan.”
Noraida Majid, 45, berkata semua ahli keluarganya kini beralih arah menyokong BN.
“Ahli keluarga saya dulu masa PRU sokong PKR, sekarang kembali kepada BN sebab janji tidak tunai, harga barang naik, hidup kami makin susah.”
Hadirin berebut mengambil gambar Najib setibanya di program “Santai sembang bersama Najib Razak” di Semenyih, malam tadi.
Mereka antara kira-kira 400 penduduk Flat Bandar Tasek Kesuma yang menghadiri program Datuk Seri Najib Razak bagi menyokong calon BN, Zakaria Hanafi. Ia antara kawasan paling ramai penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang mempunyai lebih 2,000 unit rumah berpusat.
Bagaimanapun, program “Pentas Anak Muda PH” yang diadakan kurang 150m dari lokasi program Najib dilihat kurang mendapat sambutan, walaupun dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama pimpina PH dan calon mereka, Aiman Zainali.
Seorang lagi pengundi Semenyih yang tinggal di Flat Bandar Tasek Kesuma sejak 1990, Zam Zaini, 48, berkata kes mahkamah yang dihadapi Najib tidak menjejaskan sokongan mereka kepada bekas perdana menteri itu dan BN.
“Rakyat bukan tolak (Najib), tapi makin sayang sebab rakyat sudah sedar banyak jasa Najib. Apa yang beliau buat, satupun PH tak boleh lawan seperti BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia.”
Beliau mendakwa rakyat muak dengan PH yang gagal menunaikan janji PRU14 sehingga menggadaikan hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera.
“Saya rasa PH sekarang mengalami krisis identiti, tidak tahu apa nak buat.
“Dulu, ramai pengundi atas pagar dan orang muda, mereka tidak ambil serius soal politik, jadi terpengaruh sokong PH, sekarang menyesal mahu patah balik.
“Sekarang boleh lihat BN tidak berkuasa, program dibuat ramai orang datang sebab mereka yang datang ikhlas, bukan sebab duit.”
PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Aiman menentang Zakaria, Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas, Kuan Chee Heng yang lebih dikenali seabgai “Uncle Kentang”.
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/02/18/peluang-ph-menang-prk-semenyih-tergugat-akibat-gagal-tunai-janji/