Petani Bukan Alat Eksperimen Para Politikus
HARAKAHDAILY
ISU KEBAJIKAN para petani belum menemui jalan keluar yang baik sehingga ke hari ini dengan pelbagai permasalahan muncul menyebabkan hidup golongan ini bak ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Benih padi yang dibekalkan sampai lewat dari jadual, benih subsidi ditiadakan tanpa makluman, benih padi ‘gelap’ yang berharga sehingga RM80 dijual di pasaran sedangkan harga benih padi bersubsidi sebelum ini hanya RM28, selain kurang berkualiti dan tambahan kualiti benih yang kurang berkualiti.
Seiring juga isu ini dengan masalah baja dan racun yang lambat dibekalkan tambah menyusahkan petani. Ini realiti yang perlu diambil perhatian pemimpin untuk mencari jalan keluar. Bukannya sekadar mencemuh mengatakan petani yang menanti baja subsidi dihantar depan rumah tidak berakal atau tidak berinisiatif.
Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Jamaliah Sudin menyampaikan suara kekecewaan para petani itu sebagai membidas kata-kata Ketua PAN Pasir Salak, Muhaimin Sulam. Dalam satu tulisan di MalaysiaKini bertarikh 15 Disember, Muhaimin menampakkan seolah-olah subsidi kepada petani sudah tidak relevan dan petani tidak bekerja bersungguh-sungguh untuk hasil yang baik.
“Tidakkah beliau tahu akan kepenatan memerah tenaga, berpanas, berhujan membanting tulang seharian? Petani (pesawah) membanting tulang dan berjasa dalam menyediakan makanan ruji yang utama rakyat Malaysia bahkan pemimpin negara. Itu sepatutnya tidak dipertikaikan.
“Kita PAS sentiasa ziarah dan bantu orang ramai melalui tindakan. Bukan macam PH, cakap berdegar dalam media tapi tak berbuat apa-apa. Jangan kita hanya pandai berpuisi tapi kaki layu tanpa melangkah berselut bersama rakyat marhaen,” ujar beliau.
PAS menurutnya mengagumi petani dan bidang pertanian di mana pekerjaan kategori tawakal ini setelah usaha yang penuh jerit perih, namun kadang diuji dengan cuaca, haiwan perosak dan macam-macam. Malah pujinya, usha petani menjadi kebajikan dan sebahagian sedekah apabila hasil mereka dicuri, dimakan haiwan dan sebagainya.
“Hebatnya orang yang berbakti pada tanah, tempat yang suatu masa semua makhluk dikembalikan jasad fizikalnya. Jadi pendekatan PAS ialah mendekati, menyelami dan menyantuni masyarakat.
Membantu selagi terdaya kerana setiap denyut nadi masyarakat terutama petani perlu di ambil perhatian, di bantu sedaya mungkin walaupun kadang-kadang agak mustahil (untuk membantu semuanya) tetapi Allah sentiasa ada.
“Dialog bersama petani yang diadakan Muafakat Nasional pada Oktober lalu telah berjaya mengumpul suara petani dan telah dibawa kepada Parlimen. Namun permasalahan gagal diatasi dengan baik oleh Kerajaan PH hingga kini,” maklumnya kesal terhadap layanan Kerajaan PH kepada golongan itu.
Ceritanya juga, di negeri-negeri lain juga berlaku variasi harga benih yang pelbagai dan pihak pesawah pula berusaha memenuhi permintaan kerajaan yang akan memberitahu penghasilan variasi pada musim tersebut dengan pesawah akan diberi benih subsidi.
“Dengan subsidi, harganya tak sampai RM30, tapi bila berlaku kawalan, para pesawah tidak memperolehi benih padi bersubsidi secara adil dan saksama. Tapi disebabkan tak nak bendang kosong, maka petani terpaksa membeli benih padi menggunakan wang sendiri hingga ada variasi berharga RM80 tanpa subsidi. PPK pun tak dapat.
“Tambahan lagi apabila dua subsidi kepada petani, iaitu insentif melotar dan insentif galakkan yang diperoleh sejak zaman Tan Sri Abdullah Ahmad Badawi juga telah dipotong sejak PH memerintah. Situasi ini seolah-olah menunjukkan ada tangan-tangan tidak bertanggungjawab yang mempertaruh nasib petani seperti yang Muhaimin katakan itu benar.
“Dan sepatutnya beliau di pihak pemerintah menyelesaikan masalah birokrasi dan kartel perniagaan yang mempertaruhkan nasib petani dan bukannya hanya mengakui permasalahan tersebut di MalaysiaKini dan berpuisi. Mereka patut malu!” tegasnya lagi ketika ditemui.
Tegasnya juga, PAS memandang bahawa petani bukanlah bahan eksperimen para politikus dan permasalahan ini perlu diselesaikan segera serta tidak sepatutnya dibiarkan berlanjutan lebih lama lagi. Kerana menurutnya, industri pertanian sewajarnya dikembangkan ke peringkat antarabangsa untuk merancakkan aktiviti eksport dan bukan hanya menyediakan makanan dalam negara, sebaliknya mesti ke luar negara.
Kerana katanya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai tanah subur jika dibandingkan dengan negara pengimport makanan terbesar seperti China dan Amerika. Bahkan sejarah jelasnya, menunjukkan Malaysia yang dikenali sebagai Tanah Melayu suatu ketika dahulu berpengalaman dan sudah menghasilkan makanan sendiri semenjak tahun 1500 masihi lagi.
“Ini mampu memberi hasil berganda jika diusahakan dengan mapan berserta pengalaman iaitu dengan menjadi sektor yang berdaya saing, komersil dan moden serta mendapat sokongan dan dukungan pemimpin tertinggi negara. Disertai kajian, perbekalan mesin yang efisyen dan memanfaatkan tanah terbiar dalam negara. Membantu petani bukanlah beban, bahkan memberi keuntungan kepada negara.
“Langkah PH dalam melantik lebih ramai dari kalangan PAN menerusi lantikan politik dan bukannya melalui undian secara lazimnya oleh Ahli Lembaga Pengarah dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Sepatutnya perlu membuktikan bahawa PAN mampu menyelesaikan permasalahan petani yang sedia ada dan bukannya bertambah memburukkan situasi petani hari ini. Apatah lagi berkata buruk terhadap petani walaupun ada diantaranya tidak mempunyai latar belakang dalam industri pertanian.
“Seterusnya, bagi menjamin kecukupan bekalan makanan dengan mengekalkan citarasa, kualiti dan khasiat yang dikehendaki disamping harga yang mampu beli, sekuriti makanan tidak boleh dilihat hanya daripada segi keuntungan perniagaan semata-mata, tetapi perlu dilihat daripada sudut pulangan sosial.
“Perkara ini perlu dipandang sebagai keberhasilan dalam pelaburan di sektor makanan dalam pada kita ingin mewujudkan keamanan serta mempertahankan kedaulatan negara. Sewajarnya tindakan undang-undang perlu diambil ke atas mereka yang memanipulasi nasib petani disamping usaha untuk mengurangkan insiden kekurangan bekalan makanan dan tidak wajar dipandang enteng,” kemukanya. – HARAKAHDAILY
Rujukan:
1. https://www.malaysiakini.com/columns/503675
2. https://www.facebook.com/1681552565464891/posts/2574757422811063/
3. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/415210/pemimpin-amanah-dominasi-nafas
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/petani-bukan-alat-eksperimen-para.html