Peszta Kembali Festival Kebudayaan Yang Meraikan Muzik Seni Dan Warisan Untuk Rakyat Malaysia
Dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan Merdeka, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia sekali lagi untuk merasai kemeriahan PESZTA, yang merupakan Perayaan Muzik, Seni & Warisan. Dengan kerjasama Think City, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Lim Yee Hoh, festival satu hari ini akan diadakan pada 26 Ogos 2023 di Kampung Attap yang terletak berhampiran dengan presint Merdeka 118, bagi menghidupkan semangat Merdeka
PESZTA ialah akronim yang terdiri daripada lokasi di mana aktiviti akan diadakan di pusat seni dan budaya di Kampung Attap iaitu Pentago House, Sam Mansion dan The Zhongshan Building. Dengan matlamat untuk meraikan warisan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia, PESZTA akan menampilkan pelbagai program, termasuklah pasar komuniti, bengkel, persembahan dan lain-lain. Lokasi yang terlibat dalam festival tersebut adalah berhampiran dengan Kampung Attap dan berada dalam jarak berjalan kaki dari Petaling Street termasuklah The Zhongshan Building, Sam Mansion, Triptyk, Pentago House, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, The HEART dan Pusat Kesenian DBKL yang baru dibuka
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Tengku Dato' Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, "PESZTA merupakan platform yang terbaik untuk meraikan Hari Merdeka ke-66 yang akan datang. Bertempat di kawasan bersejarah yang dipenuhi dengan pelbagai budaya, seni, dan warisan, festival ini benar-benar menggambarkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara. Dalam kita bersiap sedia untuk pembukaan Merdeka 118, adalah lebih penting untuk kita menyokong dan memperkasakan komuniti di sekitar ini bagi mempamerkan dan mempertahankan warisan tempatan. Berdasarkan kejayaan PESZTA pada tahun lalu, kami bertekad untuk mengadakan perayaan Kemerdekaan yang lebih bermakna lagi tahun ini."
Tengku Dato’ Ab. Aziz Tengku Mahmud, CEO of PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad
Pengunjung akan berpeluang untuk mempelajari sejarah dan budaya negara dengan lebih mendalam. PESZTA menawarkan pengalaman yang menakjubkan di presint Merdeka 118 dan kawasan sekitarnya. Merdeka 118 Stories Room bakal memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai semangat Merdeka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Terletak di atas bumbung The Zhongshan Buidling, pengunjung juga dapat menghayati Merdeka 118 Memories dengan berlatarbelakangkan menara tersebut. Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai bengkel kebudayaan yang menawarkan pengalaman langsung dalam membuat Hiasan Kepala Mak Yong atau turut serta dalam bengkel Penapaian Makanan. Pengunjung juga boleh merasai sentuhan moden dan tradisional di bengkel Masakan Kampung Vegan, di mana pengunjung akan mempelajari cara-cara menggantikan bahan-bahan mesra vegan dalam hidangan tradisional
Penggemar makanan turut berpeluang untuk merasai pelbagai juadah istimewa yang akan tersedia di festival ini. Vendor makanan dari seluruh Malaysia bakal menyediakan pelbagai juadah yang pastinya dapat memenuhi citarasa semua
Festival ini bakal mengetengahkan seni sensori, pameran dan bengkel fotografi. Diketuai oleh pengarah dan penerbit Aliff Zulkifli, bengkel ini akan memperkenalkan teknik fotografi mudah alih kepada peserta dalam menyampaikan sesuatu cerita. Gambar-gambar yang terpilh akan dipamerkan dalam pameran ini. Pengunjung juga berpeluang untuk mencuba seni sensori di KLC Trash Workshop di mana pengunjung boleh menggubah sampah menjadi karya seni yang boleh dibawa pulang. Pada masa yang sama, Dewan Pehimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor akan mengadakan sebuah pameran bertajuk Legend of the Century: Loke Yew untuk memperingati ulang tahun ke-100 mereka
Antara vendor yang akan menyertai PESZTA adalah penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118 dari kawasan kejiranan berhampiran. Ini termasuklah penerima geran IIIUM dengan kerjasama Perumahan Awam Seri Sarawak bagi projek Pemeliharaan Lebah Tanpa Sengat Pintar, yang akan mempamerkan dan menjual produk berasaskan madu lebah kelulut seperti sabun dan madu
Bagi memeriahkan lagi suasana, persembahan muzik secara langsung seperti guzheng, muzik berasaskan alat muzik bertali dan persembahan kumpulan muzik blues akan menghiburkan para pengunjung sepanjang festival ini. Sambutan PESZTA tahun ini akan diakhiri dengan persembahan oleh artis popular di arena muzik Malaysia iaitu Zee Avi dan Alena Murang, seorang penyanyi, komposer lagu dan pemain sape yang boleh menyanyikan lagu dalam bahasa yang diancam kepupusan seperti Kelabit dan Kenya, disamping persembahan oleh kumpulan muzik tempatan Carburetor Dung and Manis Manis
Idea untuk menganjurkan PESZTA telah dicetuskan oleh Program Geran Komuniti Merdeka 118 yang diadakan sejak tahun 2021. Festival ini terbuka untuk semua dan dianjurkan dengan kerjasama oleh pelbagai pihak berkepentingan seperti DBKL, swasta dan juga artis tempatan dan komuniti. Selain itu, pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah dan menjadi antara yang terawal untuk naik ke menara Merdeka 118 (tertakluk pada terma dan syarat)
Kemudahan tempat letak kereta turut disediakan di kawasan berhampiran, namun pengunjung digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam. Kampung Attap mudah diakses melalui stesen monorel Maharajalela atau stesen LRT/MRT/bas Pasar Seni dan jarak berjalan kaki hanyalah 10 minit
Untuk maklumat lanjut tentang PESZTA, sila layari platform media sosial rasmi Merdeka 118 dan akaun rasmi Instagram PESZTA.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.mahagosip.com/2023/08/peszta-kembali-festival-kebudayaan-yang.html