Perut Buncit Lepas Bersalin Ini 3 Tips Mujarab Nak Kempiskan Perut Si Ibu
Bila sebut je perkataan ‘buncit’ mesti ramai yang kemurungan tambah-tambah lagi jika ramai orang yang akan terbayang individu berbadan besar. Pernahkah anda terfikir tentang masalah kesukaran mengempiskan perut selepas bersalin.
Bukan senang nak turunkan berat badan selepas bersalin. Para ibu kebiasaannya akan bergelut dengan pengurusan bayi baru dan pada masa yang sama ingin menyesuaikan diri dengan rutin hidup yang baru.
Perkara ini akan menyebabkan tekanan perasaan dan emosi kepada si ibu lebih-lebih lagi jika si bapa tidak diberikan cuti paterniti. Anda masih mencari cara kempiskan perut selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.
Naik berat badan semasa hamil
Senang je cakap “kita waktu hamil kena pastikan berat badan hanya naik xx kg” kan? Macam ada satu persamaan matematik pula yang boleh digunakan untuk meramal kebarangkalian seseorang itu untuk kekal “besar” selepas tempoh bersalin.
Walaupun mungkin bagi mereka yang kurus, naik berat badan 12 kg itu masih dalam lingkungan nilai kenaikan berat normal namun berbeza pula dengan mereka yang obes.
Menurut Panduan Pengamalan Perubatan Klinikal (CPG), kesesuaian jumlah nilai kenaikan berat badan semasa hamil diukur berdasarkan pada jisim berat badan (BMI) seseorang itu.
Kurang berat badan (<18.5 kg/m2): 12.5 – 18.0 kg
Berat normal (18.5-24.9 kg/m2): 11.5 – 16.0 kg
Berat badan berlebihan (25.0 – 29.9 kg/m2): 7.0 – 11.5 kg
Obes (30 kg/m2 dan keatas): 5.0 – 9.0 kg
Enam perkara yang menambahkan berat pada si ibu yang mengandung adalah;
Berat bayi dan uri
Cecair amniotik
Tisu payudara
Kenaikan jumlah darah semasa kehamilan
Pembesaran rahim
Penambahan pada tenaga simpanan dalam bentuk lemak badan
Mereka yang mengalami kenaikan berat badan melebihi apa yang disarankan sering dikaitkan dengan kenaikan risiko untuk mendapat diabetes gestasi dan masalah obesiti kelak.
Frasa kata “biasalah, dah bersalin nanti naiklah badan” merupakan norma perbualan yang mesti diubah memandangkan kegemukan kebiasaannya hadir dengan pakej berbentuk penyakit-penyakit kronik. Susah ke nak kempiskan perut selepas bersalin? Berikut merupakan cara kempiskan perut selepas bersalin yang telah terbukti dengan sains.
1. Elakkan diet kilat (crash diet)
Diet kilat merupakan diet yang dapat menurunkan berat badan anda secara mendadak melalui pengambilan kalori harian pada tahap yang sangat rendah (800-1,000 kalori sehari).
Kaedah ini dapat membantu anda untuk menurunkan berat badan dalam masa yang singkat. Bayangkan jika anda boleh hilang 20 kg berat badan dalam masa seminggu. Siapa tak tertarik untuk mencubanya, kan? Namun begitu gaya pemakanan yang seperti inilah yang bercanggah dengan tujuan pengamalan diet iaitu untuk kekal sihat dalam jangka masa yang panjang. Ia bukanlah cara kempiskan perut selepas bersalin yang efektif dalam jangka masa panjang.
Pengambilan nutrisi yang cukup
Selepas melahirkan anak, pengambilan nutrisi yang mencukupi penting buat si ibu bagi memastikan badan mereka dapat sembuh dengan baik. Malahan, jika anda menyusukan anak dengan susu badan, anda mempunyai keperluan kalori harian yang lebih tinggi berbanding dengan wanita lain.
Jika diet kilat diamalkan, anda tidak akan mempunyai tenaga yang cukup untuk menjalani rutin harian. Ini akan mengakibatkan masalah kelesuan dan tekanan emosi tatkala melayan teriakan bayi yang tidak diketahui puncanya.
Jadi, bagaimana cara kempiskan perut selepas bersalin dengan diet? Mestilah mengurangkan bilangan kalori yang diambil setiap hari. Sebagai contoh, wanita memerlukan 2000 kalori sehari, apa kata jika anda hanya mengambil 1500 kalori sehari sahaja.
Jangan risau, pengurangan pemgambilan kalori tidak menjejaskan kesihatan dan peenghasilan susu ibu.
2. Amalkan penyusuan badan
Mungkin ramai yang tahu berkenaan dengan kebaikan susu ibu terhadap sistem pertahanan tubuh dan sebagainya. Namun begitu, ada ke yang tahu bahawa pemberian susu badan kepada anak dapat mengurangkan kebarangkalian untuk si ibu mengalami masalah berat badan berlebihan seusai bersalin?
Menurut satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2011 oleh Universiti Perubatan Duke melibatkan 4,922 individu, mereka yang menyusukan anak sehingga berusia 6 bulan telah mengalami purata penurunan berat setinggi 1.68 kg berbanding mereka yang tidak memberikan susu badan.
Dapatan kajian ini telah disokong oleh kajian yang melibatkan 36,030 ibu berbangsa Denmark. Menurut kajian tersebut, berat badan pospartum boleh kembali kepada berat badan asal dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan jika si ibu mengamalkan pemberian susu badan.
Jika anda mempunyai keadaan kesihatan tertentu yang tidak membenarkan anda untuk memberikan susu badan seperti HIV dan jangkitan hepatitis B, kaedah pengurangan berat badan perlu tertumpu kepada kaedah diet dan peningkatan pada aktiviti fizikal.
Manfaat lain dalam pemberian susu badan seperti:
Menurunkan risiko bagi bayi untuk mendapat jangkitan
Membantu mengecutkan saiz rahim ibu dengan lebih cepat
Menyokong perkembangan anak melalui pemberian nutrisi yang kritikal buat anak sebelum berusia 6 bulan
Menurunkan risiko si ibu untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, kemurungan postpartum, kanser payudara dan kanser ovari
3. Ambil makanan tinggi serat
Kajian yang dijalankan pada tahun 2012 oleh Hairston telah menunjukkan kepentingan mengambil makanan tinggi serat dalam mengawal berat badan individu. Kajian tersebut melibatkan 1,114 orang dewasa dan pada setiap 10 gram makanan berserat yang diambil oleh mereka, jumlah lemak pada perut berkurangan sebanyak 3.7% dalam tempoh 5 tahun.
Pengambilan makanan tinggi serat merupakan salah satu cara kempiskan perut selepas bersalin yang berkesan. Ini berikutan peranan serat itu sendiri dalam memperlahankan proses penghadaman menyebabkan penurunan kadar rembesan hormon lapar.
Ia juga mengurangkan penyerapan glukosa ke dalam salur darah sekali gus membuatkan aktiviti hormon insulin lebih terkawal, serta mengawal pendepositan lemak badan.
Kesannya kepada jumlah pengambilan kalori harian masih menjadi topik perdebatan berikutan terdapat perbezaan pada dapatan kajian yang dijalankan oleh ahli akademik.
Namun, ia memberikan kesan fisiologikal yang positif terhadap sistem usus seterusnya menghalang berlakunya masalah kesihatan kronik seperti obesiti dan kanser usus.
Jadi, untuk ibu-ibu yang runsing jika perut anda tidak kempis selepas bersalin amalkan tiga jenis cara ini dalam kehidupan seharian.
Sumber: Hello Doktor
The post Perut Buncit Lepas Bersalin? Ini 3 Tips Mujarab Nak Kempiskan Perut Si Ibu appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/12/17/perut-buncit-lepas-bersalin-ini-3-tips-mujarab-nak-kempiskan-perut-si-ibu/