Pertikai Darurat Kekeliruan 10 Mantan Presiden Bar Council
AMAT terkejut membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh 10 mantan Presiden Bar Council, iaitu Dato’ Param Cumaraswamy, Zainur Zakaria, Dato’ Dr Cyrus V. Das, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Christopher Leong dan Steven Thiru, yang membuat dakwaan-dakwaan karut berikut:
(1) Kononnya kerajaan telah memulakan satu duluan merbahaya bagi Proklamasi Darurat bila prasyarat yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak dipenuhi (‘the requisite conditions are not met under the Constitution’). Dakwa mereka Proklamasi Darurat adalah digantungkan kepada pandemik COVID–19 tetapi pandemik COVID–19 bukanlah satu alasan sah untuk darurat (‘hardly a legitimate reason for an emergency’).
Tidakkah mereka tahu bahawa dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1968) telah diputuskan bahawa istilah darurat (‘emergency’) adalah meliputi peperangan, kebuluran, gempa bumi, epidemik dan keruntuhan kerajaan sivil (‘wars, famines, earthquakes, floods, epidemics and collapse of civil government’)?
Tidakkah mereka sedar bahawa tokoh seperti pakar Perlembagaan terkenal negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, sendiri telah menyatakan di dalam akhbar The Star pada 14 Januari lalu bahawa pandemik COVID–19 adalah satu alasan sah untuk darurat kerana ia termasuk sebagai satu darurat (‘the COVID-19 pandemic clearly qualifies as an Emergency’)?
Tidakkah mereka sedar bahawa tokoh seperti mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, juga telah menyatakan di dalam portal berita Free Malaysia Today pada 12 Januari lalu bahawa asas yang digunakan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat adalah termasuk di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan (‘the grounds on which the emergency is declared come within Article 150 (of the Federal Constitution’)?
Tidakkah mereka juga sedar bahawa seorang lagi Pakar Perlembagaan terkenal negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari, dan seorang peguam yang banyak memberikan komentar Perlembagaan di dalam media massa dan twitternya, Syahredzan Johan, walaupun kedua-duanya adalah orang kuat DAP, juga telah menyatakan di dalam portal berita The Malaysian Insight pada hari ini, 17 Januari, bahawa Proklamasi Darurat itu adalah sah?
(2) Kononnya adalah penting bahawa kedua-dua Proklamasi Darurat dan apa-apa Ordinan yang dibuat berdasarkan kepada Proklamasi Darurat dibentangkan di hadapan Parlimen sesegera mungkin (‘that both the Proclamation of Emergency and the Ordinance be laid before Parliament as soon as possible’) kerana kononnya Proklamasi Darurat dan apa-apa Ordinan yang dibuat berdasarkan kepada Proklamasi Darurat wajib dibentangkan di Parlimen di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan (‘must be tabled in Parliament under Article 150 (3) of the Federal Constitution’)?
Tidakkah mereka tahu bahawa peruntukan yang menghendaki ‘Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang’ hanya wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum 15 Mei 1981 sahaja dan bahawa peruntukan ini sudah dimansuhkan bermula dari tarikh tersebut?
Tidakkah mereka sedar bahawa satu tesis doktor falsafah berwibawa dari Brunel University pada tahun 1994 oleh Dato’ Dr Cyrus V. Das sendiri merumuskan bahawa ketiadaan tempoh spesifik dalam mana sesuatu Proklamasi Darurat perlu dibentangkan di Parlimen menyebabkan terpulang kepada kerajaan untuk berbuat demikian bila-bila masa sekalipun.
Ini adalah rumusan penuh tesis doktor falsafah tersebut: ‘In the absence of any imperative under Clause (3) requiring that a Proclamation should be laid before Parliament within a defined period, or the time within which Parliament should be convened to decide on the continuance of a Proclamation, the pathway was cleared for the executive Government to ride on an Emergency as long as it wants… If a Proclamation is made when Parliament is not in session, it is open to the Executive to wait till Parliament ordinarily meets to lay the Proclamation before it or to skip the first session altogether because there is no injunction that the laying of the Proclamation should be in the session soon after the Proclamation was made.’
Tidakkah mereka juga sedar bahawa Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Syahredzan Johan, walaupun kedua-duanya adalah orang kuat DAP, juga telah menyatakan di dalam portal berita The Malaysian Insight pada hari ini, 17 Januari, bahawa ‘Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa setelah Parlimen bersidang pengisytiharan darurat perlu dibentangkan di Parlimen, ia tidak mengatakan mesti dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan.’
Apa motif 10 mantan Presiden Bar Council ini mengeluarkan kenyataan media mengelirukan yang bercanggah dengan fakta-fakta perundangan yang ada, malah yang bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh tokoh-tokoh lain yang jauh lebih pakar dan lebih berpengalaman daripada mereka?
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
– HARAKAHDAILY 17/1/2021
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2021/01/pertikai-darurat-kekeliruan-10-mantan.html