Pertembungan Kerusi Akan Berterusan Di Sebalik Majlis Perikatan Kata Penganalisis
freemalaysiatoday.com
Nicholas Chung
-December 20, 2020 8:00 AM
Seorang penganalisis berkata, Majlis Presiden PN boleh membantu perbincangan mengenai dasar kerajaan, tetapi tidak akan dapat melakukan banyak perkara mengenai pembahagian kerusi pilihan raya.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis menjangkakan majlis presiden Perikatan Nasional yang akan ditubuhkan kelak tidak dapat banyak membantu dalam mengelakkan pertembungan UMNO dan PPBM ketika rundingan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, majlis pimpinan PN itu dapat membantu memudahkan perbincangan antara semua parti, terutamanya dalam perkara berkaitan dasar kerajaan.
“Tetapi, ia tidak dapat banyak membantu dalam soal pembahagian kerusi. Ia sukar bagi Barisan Nasional dan PN untuk mengelakkan pertembungan, terutamanya melibatkan kerusi yang dikehendaki UMNO dan PPBM.
“Perbincangan paling sukar adalah untuk kerusi dimenangi UMNO pada 2018, tetapi wakil rakyatnya kemudian melompat ke PPBM,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, senario terburuk yang boleh berlaku jika rundingan gagal mencapai penyelesaian ialah kedua-dua parti itu bersaing tiga penjuru di kerusi tertentu.
Katanya, perkara sama juga boleh dikatakan untuk kerusi disasarkan UMNO serta PAS di Terengganu, di mana beliau menjangkakan beberapa pertembungan persahabatan di kawasan tertentu.
Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini berkata, semua rundingan terus kerusi untuk PRU15 akan dilakukan bersama PN, bukannya PAS.
Kenyataannya dilihat seperti penamat bagi Muafakat Nasional, yang pada mulanya dibentuk UMNO serta PAS, dan kemudiannya bersetuju menerima PPBM.
UMNO, bagaimanapun, bukan ahli PN, di mana PAS dan PPBM adalah rakan kongsi, walaupun menyokong kerajaan PN.
Asyraf berkata, majlis presiden akan mengelakkan sebarang pertikaian terhadap dasar kerajaan, sambil membenarkan UMNO dan BN menyuarakan kebimbangan mereka terus kepada kerajaan.
UMNO ‘sambil menyelam minum air’
Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, bersetuju dengan Asyraf, dengan berkata majlis presiden sangat membantu dalam rundingan kerusi, bertindak sebagai platform untuk menyelesaikan isu antara parti.
Tetapi, beliau memberitahu FMT, kemungkinan berakhirnya pakatan UMNO dengan PAS dalam MN boleh bertukar menjadi hikmah tersembunyi buat UMNO.
Katanya, menggunakan PN sebagai asas rundingan kerusi ibarat sambil menyelam minum air bagi UMNO kerana ia akan mendapat kelebihan berbanding PPBM, dan masalah UMNO bukan dengan PAS.
“Jika ini adalah pendirian rasmi UMNO, maka ia adalah langkah sangat strategik. UMNO akan mendapat lebih banyak kelebihan berbanding berurusan dengan PAS melalui MN. Masalah UMNO dengan pembahagian kerusi terletak pada PPBM, bukannya PAS.
“PPBM tidak boleh mendakwa kerusi yang mereka tandingi dan menang pada 2018 hanya berdasarkan usaha mereka sendiri kerana Pakatan Harapan (PH) banyak membantu mereka. Walaupun presiden mereka mengetuai PN, apabila melibatkan tiga parti dalam perbincangan rundingan kerusi, ia tidak menguntungkan PPBM.
“PAS tidak akan terjejas dengan atau tanpa MN, tetapi bagi UMNO, dari segi masalahnya dengan PPBM, PN adalah hikmah tersembunyi berbanding UMNO yang bergantung kepada MN semata-mata.”
Azmi berkata, keputusan PRU 2018 adalah penanda aras jelas yang perlu diusahakan BN dan PAS untuk mengelakkan pertembungan, serta PPBM juga akan mengelakkan kerusi tradisi PAS akibat sokongan kuat akar umbi parti Islam itu.
Namun, dengan PPBM dan UMNO berkongsi DNA politik sama, beliau berkata, penyokong kedua-dua parti itu pada dasarnya berasal daripada kumpulan sama yang menjadikan rundingan kerusi lebih sukar.
“Jalan keluar mudah adalah untuk UMNO dengan rela menyerahkan kerusi yang mereka kalah teruk pada PRU14 kepada PPBM. Tetapi, tentu saja, PPBM juga akan menuntut kerusi selamat yang mungkin merupakan kerusi tradisi UMNO.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/12/pertembungan-kerusi-akan-berterusan-di.html