Pertelingkahan Mic Dap Khianati Usaha Pmx
HarapandailyAugust 7, 2025OLEH K NOVINTHEN
Saya terpanggil untuk bersuara berikutan pertikaman lidah antara beberapa pemimpin masyarakat India DAP dan MIC khususnya dari negeri Perak yang kini menjadi tontonan awam.
Pada ketika negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi dan sosial pasca pandemik, kita menyaksikan dua parti dalam gabungan kerajaan sendiri yang lebih ghairah mengeluarkan kenyataan media daripada menggulung lengan dan bekerja untuk rakyat.
Ini bukan sekadar memalukan parti masing-masing. Ini memalukan seluruh kerajaan perpaduan. Ini mengkhianati usaha tidak kenal penat lelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PM sedang bekerja siang malam — bertemu pelabur, melancarkan inisiatif rakyat, memperkukuh diplomasi antarabangsa dan memacu dasar-dasar MADANI untuk kebaikan semua kaum.
Malangnya, DAP dan MIC memilih untuk berperang mulut atas isu yang boleh diselesaikan melalui saluran dalaman dan rundingan yang matang.
Adakah ini contoh kepimpinan yang mahu kita pamerkan kepada rakyat? Di saat PM mengetuai barisan hadapan membina semula negara, dua rakan komponen sibuk dengan pentas drama yang tidak membawa nilai tambah kepada sesiapa.
Saya menyeru kepada semua parti dalam kerajaan perpaduan untuk kembali kepada asas: bekerja demi rakyat, bukan populariti media.
Rakyat tidak peduli siapa yang lebih banyak bercakap — mereka hanya mahu melihat siapa yang benar-benar menyelesaikan masalah.
Isu pendidikan, kesihatan, peluang ekonomi dan infrastruktur masih banyak yang perlu ditangani. Tidak ada ruang untuk politik remeh yang membuang masa dan tenaga.
Kepada pemimpin MIC dan DAP, jika benar ikhlas mahu berdebat, berdebatlah tentang solusi kepada masalah rakyat. Bukan siapa lebih popular di TikTok atau lebih lantang di Facebook.
Kami dalam KEADILAN akan terus kekal fokus pada kerja sebenar: Melayani rakyat, memperjuangkan keadilan, dan mempertahankan kestabilan kerajaan perpaduan ini.
குறள் 889:
எட்பக வன்ன சிறுமைத்தே ஆயினும்
உட்பகை உள்ளதாங் கேடு
கலைஞர் விளக்கம்:
எள்ளின் பிளவுபோன்று சிறிதாக இருந்தாலும் உட்பகையால் பெருங்கேடு விளையும்.
English Couplet 889:
Though slight as shred of ‘seasame’ seed it be,
Destruction lurks in hidden enmity.
K NOVINTHEN ialah ketua cabang PKR Sungai Siput.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/08/pertelingkahan-mic-dap-khianati-usaha.html