Permainan Kanak Kanak Berubah Ekstrem Rebut 45 6 Bilion Won Dengan Squid Game Di Netflix Kini
Netflix memang tak menghampakan dalam mengeluarkan kandungan unik buat penonton K-Drama.
Pasti akan membuatkan anda tak senang duduk, “Squid Game” yang mempunyai 9 episod hadir sebagai taruhan baru Netflix dalam membawa kualiti yang kaya bagi K-Drama.
Untuk pengetahuan, ia adalah drama fantasi gelap mengenai sebuah permainan survival misteri dengan tawaran ganjaran sebanyak 45.6 bilion won (RM163.5 juta).
Daripada apa yang dijelaskan oleh pengarah dan pelakon drama ini, nampaknya “Squid Game” memang patut ditonton oleh semua.
Asal ‘Squid Game’
Pasti ramai tertanya-tanya mengapa nama “Squid Game” dipilih sebagai judul drama ini kan? Menurut pengarah Hwang Dong-hyuk, ia menggambarkan permainan dengan nama yang sama yang sering dimain semasa kecil dahulu,
Ini ialah kisah mengenai individu yang biasa bermain permainan ini semasa kecil dan kembali bermain semasa dewasa. Ia merupakan permainan yang paling menggunakan fizikal dan ia juga merupakan permainan kegemaran saya. Saya rasakan permainan ini akan menjadi permainan yang paling simbolik bagi kanak-kanak untuk menggambarkan situasi yang berlaku dalam masyarakat kini.
Garapan tahun 2008
Bukannya ditulis secara tiba-tiba, “Squid Game” merupakan idea pengarah ini sejak tahun 2008 lagi. Malah ianya ditulis sebelum filem popular garapannya seperti “Silenced” dan “The Fortress” dihasilkan.
Saya banyak membaca komik dan habis menulis skripnya pada 2009. Pada ketika itu, ianya nampak asing dan kejam. Ada yang mengatakan ia terlalu kompleks dan bukan komersial. Saya sukar mendapat pelaburan selain pencarian bakat yang sukar. Saya berusaha merealisasikan naskhah ini selama setahun namun terpaksa menguburkan hasrat itu kemudian.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana dengan adanya Netflix yang menggalakkan kebebasan berkarya, ianya mampu menemui penonton kini.
Bukan permainan survival biasa
Walaupun ada filem lain yang mengetengahkan konsep survival namun “Squid Game” adalah lain daripada semuanya.
Jelas pengarah itu lagi,
Ramuan permainan survival ialah tahap hiburan yang boleh dilihat terus dan penonton dapat merasai kesukaran yang dialami peserta untuk bergelar juara. Melihat kepada faktor yang membezakan drama ini, saya pilih peraturan yang ringkas. Tidak banyak masa atau tenaga perlu digunakan untuk memahami peraturan yang ada. Bukan hanya permainan itu, ‘Squid Game’ memberi fokus kepada cara mereka bertindak dan respon kesemuanya. Biasanya, kita akan melihat pemenang permainan survival namun dalam drama ini, kita akan memerhatikan yang kalah. Jika tiada yang kalah maka tiada yang menang.
Lee Jung-jae juga meluahkan pelbagai perasaan yang dirasai semasa merakam drama ini,
Ini ialah permainan yang pernah dimain oleh kita semasa kecil. Saya berasa seronok semasa awal penggambaran, namun semakin lama, semakin meningkat tahap ketakutan saya. Ianya membebankan. Saya berasa takut untuk bermain permainan yang menakutkan ini kerana saya masih boleh teringatkan perasaan naif semasa kanak-kanak. Saya pasti penonton ‘Squid Game’ juga akan merasai perkara yang sama.
Karakter unik
Dengan 456 peserta, setiap pada mereka mewakili latar belakang kehidupan yang berbeza. Gi-hun (Lee Jung-jae) ialah duda yang dibelenggu kegagalan bisnes dan hutang. Rakan sekolahnya, Sang-woo (Park Hae-soo) memasuki universiti berprestij dan bekerja di firma pelaburan namun terjerumus dalam situasi rumit. Sae-byeok (Jung Ho-yeon) pula ialah pelarian dari Korea Utara yang berusaha keras untuk berjumpa semula dengan keluarganya. Watak menarik lain ialah Deok-su (Heo Sung-tae) iaitu seorang gangster dan Jun-ho (Wi Ha-jun), seorang polis yang menyamar dalam permainan survival itu bagi mencari adiknya yang hilang. Setiap daripada mereka pasti akan menarik tangkai hati penonton atas alasan yang berbeza.
Drama debut Jung Ho-yeon
Pastinya nampak asing, Jung Ho-yeon membuktikan kebolehannya membawa watak Sae-byeol apabila dia dipilih sendiri oleh pengarah Hwang Dong-hyuk untuk menghidupkan watak ini.
Bahkan lebih membanggakan apabila model antarabangsa ini merupakan padanan sesuai dicari oleh pengarah hebat ini walhal ramai pelakon lain yang datang ke uji bakat namun gagal menghidupkan watak daripada Korea Utara tersebut. Jung Ho-yeon juga khabarnya telah mengosongkan jadual ‘modeling’ yang bersusun di New York selepas menerima tawaran ini.
Bukan itu sahaja, Lee Jung-jae juga memilih Sae-byeok sebagai watak yang mahu dicuba olehnya jika diberi peluang. Menarik!
Set dan muzik mengasyikkan
Sesebuah drama akan menjadi lebih menarik apabila ia diiringi oleh sinematografi dan muzik yang bersesuaian. Sama seperti “Squid Game”, warna set kontra dan terang membuatkan ia nampak naif namun ia menyelindungkan pelbagai babak ekstrem disebaliknya.
Luah Lee Jung-jae dan Heo Sung-tae, mereka berasa kagum kerana set tersebut yang dibina menggunakan tangan dan bukannya efek grafik (CGI). Malah lelaki yang melakonkan watak Deok-su itu mengakui bahawa pertama kali dalam kariernya, dia sendiri mengucapkan tahniah kepada pasukan kreatif kerana berjaya menghidupkan set berkenaan.
Kata pengarah,
Saya mahu paparkan elemen fizikal, jadi saya melabur buat set berskala besar. Saya mahu tampilkan kelainan.
Baru dengan cerita mereka pun, anda pasti dah teruja nak menonton “Squid Game” kan? Jadi jangan tunggu lagi dan serbu Netflix sekarang juga!
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/permainan-kanak-kanak-berubah-ekstrem-rebut-45-6-bilion-won-dengan-squid-game-di-netflix-kini/