Perlukah Fidyah Bagi Yang Meninggal Dunia
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
“Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)
Bulan Ramadhan sudah hampir tiba. Pasti ramai di antara kita yang sudah tidak sabar untuk menyambutnya kerana banyak kelebihan dan ganjaran pahala yang boleh diperoleh. Namun, rata-rata muslim terutamanya kaum hawa pasti risau berkenaan dengan urusan membayar hutang dengan Allah, iaitu menggantikan puasa. Bagaimana pula jika tidak sempat untuk membayar hutang puasa tersebut?
Islam merupakan agama yang tidak membebankan umatnya. Setiap perkara yang terjadi pasti diberi kemudahan oleh Allah supaya tidak memudaratkan hambaNya. Oleh itu, berkenaan kemusykilan ganti puasa ini, Islam telah menetapkan untuk membayar fidyah jika tidak sempat untuk menggantikannya.
Apa itu fidyah? Fidyah merupakan bayaran denda yang telah dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya. Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ini adalah berdasarkan kalam Allah yang berbunyi:
أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu: maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
(Surah Al-Baqara, 2:184)
Oleh itu, para ulama’ telah menetapkan hukum wajib membayar fidyah ke atas mereka yang telah meninggalkan puasa dan tidak mampu untuk menggantikannya. Antara golongan yang wajib membayar fidyah ialah perempuan yang uzur dan tidak boleh menunaikan puasa wajib, perempuan hamil yang telah meninggalkan puasa serta ibu yang menyusukan anak, orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasa, musafir dan pesakit yang tidak mengqada’ puasa serta orang yang terlambat mengganti puasa sehingga terlupa.
Bayaran fidyah boleh dilakukan di mana-mana pejabat atau majlis agama negeri masing-masing, pusat zakat di negeri masing-masing atau di laman web e-zakat.
Kadar bayaran fidyah ialah dengan mengira berapa hari seseorang itu meninggalkan puasa dan didarabkan dengan satu cupak beras. Sebagai contoh, harga beras secupak kini bernilai RM4.00 dan didarabkan dengan tiga hari anda meninggalkan puasa, maka harga bayaran yang perlu dibayar ialah RM12. Anda boleh membayar di pusat zakat atau memberi terus beras tersebut kepada fakir miskin.
Bagaimana pula jika sudah bertahun-tahun meninggalkan puasa? Para ulama’ berpendapat bahawa jumlah fidyah tersebut perlu digandakan dengan jumlah tahun yang telah ditinggalkan. Contohnya, jika seseorang telah meninggalkan puasa selama tiga hari dan dia tidak menggantikannya selama tiga kali Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah seperti berikut:
RM4.00 (secupak beras) x 3 hari puasa yang ditinggalkan x 3 kali Ramadhan yang terlepas = RM36.00
Maka, jumlah cupak beras yang perlu dibayar ialah RM36 kepada fakir miskin.
Bayaran fidyah ini boleh juga dilebihkan sedikit.
Bagaimana Fidyah Orang Meninggal
Pasti anda musykil dan tertanya-tanya bagaimana bayaran fidyah bagi orang yang telah meninggal dunia dan adakah wajib membayar fidyah bagi mereka?
Jawapannya adalah wajib hukumnya menggantikan puasa terhadap waris yang telah meninggal dunia dengan bilangan puasa yang ditinggalkannya. Jika tidak pasti bilangannya, maka ambillah yang terdekat dan jika berlaku perbezaan antara dua bilangan, maka ambillah yang lebih banyak sebagai langkah berjaga-jaga.
Para ulama’ berpendapat bahawa diutamakan menggantikan puasa berbanding dengan membayar fidyah. Ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
“Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Namun, sekiranya kaum kerabat tidak mahu menggantikannya, maka boleh membayar fidyah. Ini adalah berdasarkan kalam Allah melalui surah Al-Baqarah di atas.
Jika seseorang itu telah lama meninggal dunia dan baru diketahui ada puasa yang tertunggak, maka warisnya wajib membayar fidyah ke atasnya sama seperti hitungan yang telah dinyatakan di atas.
Kesimpulan
Hutang ke atas Allah itu wajib dibayar, tidak kiralah sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia sama seperti hutang kita terhadap manusia kerana ia merupakan hak yang wajib dilunaskan.
“Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati sedangkan beliau ada puasa sebulan yang tertunggak, apakah boleh aku menunaikannya bagi pihak beliau? Jawab Rasulullah SAW: Boleh. Baginda berkata lagi: Kerana hutang kepada Allah itu lebih baik untuk ditunaikan.
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)
Sumber: tzkrh.com
The post Perlukah Fidyah Bagi Yang Meninggal Dunia appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/perlukah-fidyah-bagi-yang-meninggal-dunia/