Perluasan Sst Adalah Ulangan Bala Gst
18 June 2025
Jika kita teliti, baik dalam media sosial atau melalui perbualan dengan pelbagai kelompok masyarakat, reaksi yang didapati terhadap langkah perluasan SST yang bermula 1 Julai depan ini adalah amat negatif sekali.
Perluasan SST bermakna lebih banyak barangan dikenakan cukai antara 5 hingga 10 peratus berbanding sebelum ini.
Jika sebelum ini ada lebih 8000 barangan dikecualikan cukai, jumlahnya selepas perluasan nanti hanya sekitar 1000 saja yang tidak dikenakan cukai.
Mudah nak faham lagi, melalui perluasan ini menjadikan kira-kira 90 peratus barangan akan dikenakan cukai.
Benar-benar luas sasaran perluasan SST itu nampaknya.
Rata-rata mengkritik, marah dan kecewa dengan langkah perluasan itu kerana makanan rakyat biasa seperti epal, limau, pear, mangga, rambutan yang diimport daripada China dan Thailand turut tidak terkecuali daripada kena cukai.
Hakikatnya bukan avocado saja yang dikenakan cukai.
Begitu juga dengan gula, garam, ikan dan sayur-sayuran pun termasuk dalam perluasan cukai sst juga.
Beberapa jenis perkhidmatan yang sebelum ini tidak dikecualikan cukai akan dikenakan cukai selepas ini.
Bagi pihak kerajaan, langkah perluasan itu digambarkan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dengan wang sekitar RM10 bilion dijangka akan bertambah ke dalam kantung kewangan negara.
Seterusnya digambarkan dengan bertambahnya wang dalam kantung negara, maka akan bertambah jugalah bantuan dan program sosial untuk rakyat.
Kononnya cukai itu akan balik semula kepada rakyat.
Tetapi, bagi rakyat kebanyakan, langkah perluasan itu bererti makin banyak poket mereka bocor setiap hari.
Dalam hal ini, ada yang mempersoalkan, mengapa untuk menambah progam sosial dan bantuan kepada rakyat, perlu dilaksanakan perluasan cukai terlebih dahulu?
Apakah kerajaan tidak cukup wang?
Mana perginya hasil pelaburan beratus-ratus bilion yang diumumkan setiap kali Perdana Menteri melakukan lawatan ke luar negara?
Bukankah sepatutnya, dengan pelaburan beratus-beratus bilion yang diumumkan sebagai berita gembira itu, rakyat sebenarnya lebih berhak menikmati cukai yang lebih rendah, bukan lebih banyak barangan dikenakan cukai?
Mungkin pakar-pakar di Kementerian Kewangan dan pensyarah-pensyarah universiti yang kerap menyokong kerajaan ada jawapan berkaitan hal ini?
Apa pun berdasarkan reaksi negatif rakyat terhadap perluasan SST, ia tentunya mengingatkan kita kepada langkah memperkenalkan GST ketika era Najib Razak dahulu.
Selain skandal 1MDB, pengenalan cukai GST adalah dua faktor penyumbang kepada tumbangnya BN pada PRU 2018 itu.
Gambaran buruk GST itu bertambah parah apabila PH dalam kempen PRU 2018 telah mengikrarkan janji untuk membatalkan cukai tersebut jika beroleh kemenangan.
Rakyat akhirnya bersatu hati menumbangkan BN kerana marah dengan GST yang disifatkan ala pukat tunda itu.
Meskipun SST kemudian diperkenalkan untuk menggantikan GST, tetapi langkah perluasan SST yang diperkenalkan bermula 1 Julai depan hampir menyamai dengan bala GST ketika era Najib daripada segi kesannya kepada rakyat.
BN tentunya dapat dielakkan daripada tumbang pada PRU 2018 dahulu jika Najib bersedia mengurangkan kadar cukai GST daripada enam peratus yang dianggap membebankan itu kepada empat atau tiga peratus.
Begitu juga sekarang, disebabkan reaksi rakyat begitu negatif, kerajaan madani tiada pilihan lain selain perlu membatalkan perluasan cukai SST yang dicadangkan kadarnya antara 5 hingga 10 peratus itu.
Penolakan rakyat terhadap madani pasti akan bertambah bila selepas ini tarif elektik dinaikkan dan subsidi Ron95 pula dijadikan langkah bersasar yang mahu tidak mahu, pasti memberi kesan pertambahan beban kepada poket rakyat.
Kepada kerajaan madani, apa guna mengejar RM10 bilion melalui perluasan cukai SST jika akhirnya rakyat makin benci dan kuasa makin terlepas daripada genggaman?
Lagi pun, setakat RM10 bilion, takkan menteri terhebat dalam sejarah, Tengku Zafrul tidak mampu mencarinya melalui FDI atau pelaburan asing? – ShahbudinHusin 18Jun2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/06/perluasan-sst-adalah-ulangan-bala-gst/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/06/perluasan-sst-adalah-ulangan-bala-gst.html