Perkasa Anjur Perhimpunan Lain Tak Mahu Terkait Politik
Anne Muhammad
Kumpulan pendesak Melayu, Perkasa akan menganjurkan satu perhimpunan pada Ahad ini dengan alasan untuk menekankan berkaitan isu semasa.
Setiausaha agung Perkasa Syed Hasan Syed Ali berkata, “Perhimpunan Jihad Perkasa” itu diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan menampilkan pimpinan Perkasa seluruh negara.
“Itu perhimpunan yang kita buat ketika AGM kita, kita akan angkat sepanduk dan nak bagitahu kita ambil tahu isu semasa.
“Ada beberapa isu semasa yang kita nak tekankan dan ia akan dihadiri lebih 1,000 orang ahli Perkasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, orang awam juga boleh menyertai perhimpunan itu yang akan diadakan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru.
Poster perhimpunan itu bertulis “Ketuanan Melayu Maruah Bangsa” dengan memetik kata-kata Buya Hamka “Jika diam saat agama dan bangsamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan”.
Perhimpunan itu diadakan seminggu sebelum perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang dijadual 8 Disember ini.
Ketika diminta mengulas perkara itu, Syed Hasan berkata Perkasa tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik dalam perhimpunan kesyukuran itu.
Katanya, buat masa ini Perkasa belum memutuskan untuk menyertai perhimpunan itu atau tidak.
“Kita tak pasti akan sertai atau tidak, kerajaan dah umum tak jadi buat, walaupun kita nak ia dibawa ke parlimen, kita akan lihat situasi, kita tak nak terikut sangat rentak orang politik,” katanya.
23 Nov lalu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendesak supaya parti politik yang menyertai perhimpunan kesyukuran itu supaya tidak membawa lambang parti masing-masing.
Katanya, jika perkara itu berlaku maka niat asal menolak Icerd, tidak sampai.
Bagaimanapun Ketua Sekreteriat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya yang mengulas perkara itu berkata, mana-mana parti boleh membawa lambang parti masing-masing dan digalakkan membawa bendera Malaysia sebagai lambang keharmonian negara
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/11/perkasa-anjur-perhimpunan-lain-tak-mahu.html