Perbuatan Sindir Badan Satu Kesalahan Bawah Akta Komunikasi 588
Perbuatan mengejek, merendah-rendahkan atau menghina seseorang dari aspek rupa fizikal dipanggil sindir badan atau ejekan tubuh. Dalam bahasa Inggeris atau istilah yang lebih kerap digunakan ialah ‘body shaming’.
Perbuatan ini memang sudah lama berlaku. Malah, di kalangan masyarakat telah wujud gelaran berbentuk sindir badan sehingga melekat pada nama contohnya seperti Ali Botak, Bidah Gemuk, Mamat Hitam dan sebagainya.
Gelaran itu mungkin pada awalnya sekadar sebagai jenaka. Pemilik badan mungkin pada awalnya tidak suka kepada gelaran itu, tetapi lama kelamaan sudah lali dengan sindiran itu dan kemudian ‘bangga’ dengan gelaran itu sehingga menjadi identiti nama untuk mudah dikenali.
Namun, dalam banyak keadaan, perbuatan sindir badan memberi kesan buruk kepada individu sehingga ada kes bunuh diri kerana tidak tahan dengan sindiran.
Kementerian Kesihaan Malaysia menjelaskan bahawa perlakuan mengejek, menghina, memalukan dan mengkritik orang lain berkenaan tubuh badannya boleh menjejaskan kesihatan mental mangsa.
Sebab itu, jangan sekali-kali melakukan sindir badan kepada sesiapa sahaja. Tentu sekali tiada siapa yang inginkan bentuk badan atau keadaan fizikalnya yang dianggap tidak menarik dan kekurangan dijadikan bahan ejekan dan sindiran.
Perlakuan ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan iaitu secara bersemuka, tetapi juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi terkini.
Ejekan tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
Walaupun niat pelaku sekadar bergurau, memberi nasihat atau menunjukkan keprihatinan, ia tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengguris perasaan, merendahkan maruah dan menyebabkan ‘mangsa’ hilang keyakinan diri.
Tahukah anda, perbuatan ejekan tubuh atau body shaming sebenarnya salah satu kesalahan jenayah siber?
Kesalahan itu termaktub di bawah akta Sekyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Mangsa boleh membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Akta berkenaan menjurus kepada kesalahan di media sosial, jika mereka yang melakukan kesalahan di luar media sosial, mangsa boleh mengambil tindakan mengikut akta berlainan.
Justeru, masyarakat yang menjadi mangsa tidak harus turut menganggapnya sebagai satu gurauan biasa dan turut sama tergelak tetapi seharusnya menentang agar tidak menjadi satu kebiasaan kepada mereka untuk melakukan body shaming.
Bagi mengatasi permasalahan etika ini, pendidikan awal harus diberikan kepada generasi muda bukan sahaja di rumah dan prasekolah, tetapi juga diwujudkan silibus dalam jadual waktu kelas secara mingguan pada peringkat sekolah rendah bagi memberi pendedahan kepada pelajar kepentingan memelihara sivik serta kemahiran berkomunikasi.
Kesimpulannya, individu harus belajar menghormati dan tidak memandang rendah kepada sesiapa sahaja demi menjamin keharmonian kehidupan masyarakat, selain cuba meletakkan diri serta memahami perasaan orang jika mereka sendiri dilemparkan kata-kata berbentuk ejekan tubuh.
Setiap manusia tidak sempurna dan sama sahaja di mata Tuhan, tetapi yang membezakan adalah amalan baik, jadi hentikanlah mengeluarkan kata-kata berbentuk ejekan tubuh.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://biroteguhnegara.blogspot.com/2020/12/frg.html