Tiada Satu Pun Data Ujian Klinikal Vaksin Covid 19 Diperoleh
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

 NOOR HISHAM ABDULLAHPUTRAJAYA: Malaysia belum memperoleh sebarang keputusan data ujian  klinikal fasa ketiga daripada mana-mana vaksin Covid-19 yang dibangunkan  firma farmaseutikal luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,  data berkenaan perlu diteliti pihaknya terlebih dahulu bagi memastikan  vaksin yang diperoleh berkesan dan selamat untuk digunakan rakyat negara  ini.
Kata beliau, sehingga hari ini, data ujian klinikal vaksin itu belum  diterbitkan untuk membuktikan keberkesanaannya dan tidak hanya  bergantung kepada laporan media semata-mata.
“Kita masih menjalankan rundingan untuk mendapatkan vaksin. Kita  tidak berkata vaksin itu tak berkesan tetapi masalahnya kita belum ada  data ujian kinikal yang membuktikannya. Lagipun ketika ini hanya media  yang melaporkan kononnya vaksin PFizer berkesan 90 hingga 95 peratus  terhadap pesakit. 
“Kita tidak boleh cepat membuat kesimpulan dan keputusan hanya  berdasarkan laporan itu, kita mahu dapatkan data ujian klinikal yang  rasmi terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut,” katanya dalam taklimat  khas Covid-19, di sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai laporan media antarabangsa dan dalam negara  mengulas berhubung sebuah firma farmaseutikal mendakwa tahap  keberkesanan vaksin yang dibangunkan mereka.
Dalam hal itu, Noor Hisham berkata, pihaknya perlu memastikan vaksin  itu didaftarkan di National Drug Regulatory Agency (NDRA) untuk tindakan  lanjut.
Selain itu, beliau menjelaskan, kementerian akan menilai pada data dan bukannya melihat syarikat mana yang mencipta vaksin itu. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Bahagian  Penyelidikan dan Sokongan Teknikal, Dr.Hishamshah Mohd. Ibrahim  menjelaskan, pada masa ini terdapat puluhan syarikat terlibat dalam  pembangunan vaksin Covid-19.
Ujar beliau, Jawatankuasa Dasar Vaksinasi dan pemilihan Vaksin di  bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin ditubuhkan bersama  Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan  Inovasi (MOSTI) mempunyai 20 pakar dari pihak kerajaan dan swasta untuk  menilai dan memilih vaksin terbaik.
“Buat masa ini ada beberapa syarikat sudah melengkapkan fasa ketiga  kajian klinikal tetapi mereka wajib mengemukakan kesemua hasil kertas  kerja, data ujian berkaitan yang membabitkan lebih 1,000 muka surat  untuk diteliti.
“Namun keputusan data yang dihantar ke Lembaga Pembangunan Makanan  (FDA) Jumaat lalu hanyalah analisis bersifat interim dan Vaksin Pfizer  and Moderna belum ke tahap yang diperlukan dan memutuskan untuk  melakukan analisis interim selepas lebih 194 siri ujian untuk menentukan  hasilnya.
“Daripada analisis itu kita akan menilai sama ada vaksin itu efektif  atau sebaliknya jika digunakan untuk pesakit kita tetapi perlu ingat  bahawa analisis interim itu tidak hanya bersandarkan satu aspek sahaja  sebaliknya banyak lagi butiran lain yang perlu diteliti,” jelas beliau.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan Malaysia dengan kerjasama agensi  luar negara seperti FDA dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) dalam  mendapatkan vaksin.
Bagaimanapun, kata beliau, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)  akan menilai kesemua dokumen dan keputusan sebelum merujuk kepada panel  pakar yang dilantik untuk tindakan sewajarnya. 
Ini termasuk, katanya, syarikat farmasi negara ini pernah menjalankan  perintis percubaan vaksin namun mereka tidak bersedia memandangkan  gelombang pertama dan kedua tahap jangkitan sangat rendah. – UTUSAN  ONLINE 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/tiada-satu-pun-data-ujian-klinikal.html