Penyampaian Hishammuddin Baik Beri Fokus Juga Masalah Sosial
 UTUSAN ONLINE

 Penyampaian pertama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri  Hishammuddin Tun Hussein berhubung maklumat operasi keselamatan dalam  tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dilihat sangat baik berkaitan  penguatkuasaan undang-undang.
   Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti  Selangor (Unisel), Prof. Dr. Zaidi Hajazi berkata, maklumat yang ringkas  dan jelas sangat penting bagi mengelakkan rakyat keliru dan mula  mendengar dari pelbagai pihak yang tidak berautoriti.
 Beliau berkata, apa yang paling baik apabila disertakan jadual teratur kecuali pengumuman yang diluar jangkaan.
“Pada masa sama, tindakan tegas mesti diambil kepada pihak yang menyebar maklumat palsu dan mengelirukan.
“Maklumat yang disampaikan hendaklah dapat memberi pencerahan di  samping menyelesaikan masalah rakyat. Ini sangat penting dalam proses  penyelesaian konflik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Zaidi berpendapat, adalah lebih baik  maklumat-maklumat dari kementerian lain dapat dikoordinasikan bersama  dalam pengumuman harian sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.
   Beliau menjelaskan, ini terutama melibatkan isu masalah sosial seperti sistem sokongan sosial, aspek pencegahan dan pemulihan.
Hal ini termasuk, katanya, pelbagai lagi aspek-aspek lain yang dapat mengurangkan beban mental rakyat.
“Apabila ingin menyelesaikan masalah sosial, ada aspek lain yang juga  perlu diberi perhatian. Aspek sistem sokongan sosial seperti kaedah dan  tempat rakyat mendapat pertolongan juga perlu diberi keutamaan.
“Contohnya, makluman berhubung bantuan, talian hayat atau bantuan  ahli Parlimen juga boleh mengurangkan perasaan marah dan panik rakyat,”  katanya.
   Semalam, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Luar Negeri yang baru  dilantik bertanggungjawab dalam Kluster Keselamatan pada 7 Julai lalu  berjanji akan meneruskan penugasan diberikan dengan sebaiknya.
Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tugas itu dalam  menyampaikan makluman keselamatan sejak 20 Mac tahun lalu sebelum  dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau akan  menyelaras dan mengeluarkan kenyataan harian yang berkaitan Task Force  Operasi Pematuhan termasuk laporan kes penguatkuasaan undang-undang  pasukan berkenaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit 1988 dari seluruh negara.
Selain itu, turut dilaporkan mengenai pematuhan prosedur operasi  standard, kawalan sempadan negara dan perkara lain daripada setiap  agensi yang terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung  situasi semasa keselamatan khususnya sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan  Pemulihan Negara.
Pelantikan Hishammuddin memimpin Kluster Keselamatan juga seumpama  mengulangi peranan sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri  Pertahanan antara 2013 hingga 2018 lalu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/penyampaian-hishammuddin-baik-beri.html