Penulis Saya Nak Jual Hak Cipta Manuskrip Pada Anwar Bukan Ugut
News | Diterbitkan Hari ini 11:22 tengahari
Penulis manuskrip 'Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM' menafikan cuba mengugut Presiden PKR itu untuk mendapat jumlah yang lebih tinggi daripada jumlah yang ditawarkan kepadanya untuk menerbitkan buku itu.
Yahaya Ismail berkata dia sebaliknya menawarkan untuk menjual hak cipta buku tersebut kepada Anwar.
"Saya beri naskah itu kepada Anwar dan (anggota parlimen PKR) Johari Abdul untuk mereka baca, dan kalau mahu, membeli hak ciptanya. Saya kemukakan naskah itu kepada beberapa individu untuk mereka beli (dan) letak harga RM400,000...
"Saya terkejut bila Anwar kata saya hendak peras ugut dia minta bayaran RM400,000. Harga itu berdasarkan nilai hak cipta yang bakal dijual kepada pembeli.
"Kalau dia tak minat, jangan beli. Tak ada apa-apa paksaan sebab hak cipta itu saya punya," katanya menerusi satu hantaran Facebook awal pagi ini.
Johari mendedahkan manuskrip itu dalam sidang media semalam dan mendakwa Yahaya - yang disifatkannya sebagai penulis upahan - cuba memeras ugut Anwar.
"Jika Anwar tawarkan harga lebih tinggi (daripada RM400,000 yang ditawarkan pihak lain), dia sanggup untuk beri buku itu kepada Anwar. Jika tidak, dia akan beri kepada individu yang sanggup menerbitkan buku berkenaan," kata Johari yang berkata turut membuat laporan polis berkenaan manuskrip itu.
Anwar pula berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.
Yahaya merupakan penulis buku politik prolifik sejak 1970-an dan pernah menghasilakn lebih 20 buah buku.
Antaranya ialah Politik Islam di Sabah (1986), Siapa kebal, Mahathir atau raja-raja Melayu (1993), Umno politics : Abdullah Badawi's dilemma (2003) dan Tsunami politik anti Pak Lah (2008).
Dalam satu hantaran berasingan hari ini, Yahaya turut berkongsi apa yang didakwanya sebagai perbualan di aplikasi Whatsapp antara dirinya dengan Johari.
'Tetap akan terbit'
Dia bagaimanapun tidak menyertakan tangkap layar perbualan, hanya menampal 'perbualan' itu. Beberapa pengguna Facebook turut membangkitkan perkara itu di ruang komen.
Menerusi hantaran itu, Yahaya dikatakan mula menghubungi Johari pada 4 Jun lalu untuk berbincang dengannya dan Anwar berkenaan manuskrip itu.
Ia berterusan sehingga 15 Jun apabila Yahaya mendakwa ada pihak lain yang berminat untuk membeli hak cipta, dan pada 16 Jun mendakwa ada pihak yang menawarkan harga RM400,000.
Dia bertanya sama ada Anwar boleh menawarkan harga lebih tinggi dan berharap Johari dapat meyakinkan anggota parlimen Port Dickson itu untuk berbuat demikian.
Pada 18 Jun, Johari didakwa meminta pengesahan Yahaya berkenaan perkara itu dan Yahaya menghubunginya lagi semalam (19 Jun) ketika Johari membuat sidang media berkenaan manuskrip itu.
"Baca Whatsapp saya kepada Johari. Saya mahu jual copyright kepada Anwar dan pihak lain yang berminat. Tidak timbul soal peras ugut langsung," kata Yahaya di akhir hantaran tersebut.
Yahaya turut berkata dia akan menerbitkan sendiri buku tersebut jika tiada pihak lain yang berminat.
“Buku kontroversi banduan meroyan jadi PM. InshaAllah saya akan terbit buku ini dalam masa terdekat...Kalau Anwar atau Johari mengatakan saya fitnah, boleh saman saya kelak. Apa masalahnya?" katanya lagi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/06/penulis-saya-nak-jual-hak-cipta.html