Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara Mohon Kerajaan Campur Tangan Elak Perniagaan Gulung Tikar
BATU KAWAN: Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara (GPBPZU) meminta kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) campur tangan berhubung lanjutan moratorium dengan syarikat kredit, bagi mengelak perniagaan mereka gulung tikar.
Pengerusinya Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata hampir kesemua 80 pengusaha bas dengan sebahagian besarnya ada membuat pinjaman dengan syarikat kredit, sudah menerima pelbagai notis bayaran balik pinjaman, sejak beberapa bulan lalu, dan khuatir bas yang dibeli mereka mungkin akan ditarik.
"Keadaan ini berbeza dengan syarikat perbankan di bawah Bank Negara yang memberikan moratorium sehingga Mac tahun depan atau ke suatu tempoh munasabah, tetapi syarikat kredit di bawah KPKT tidak menyambung moratorium tersebut jadi kami perlu bayar walaupun tiada pendapatan sekarang ini.
"Kami sangat berharap, kerajaan terutama Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin dapat campur tangan untuk membolehkan syarikat kredit memberi kelonggaran melanjutkan moratorium atau pihak Bank Negara membeli pinjaman pengusaha bas persiaran daripada syarikat kredit … ini dapat membantu meringankan beban pengusaha bas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu seramai 30 pengusaha bas berhimpun secara aman di kawasan parkir Stadium Batu Kawan meminta kerajaan campur tangan dan prihatin dengan nasib mereka.
Ahmad Ruslan berkata pengusaha-pengusaha bas persiaran tidak akan lari daripada tanggungjawab membayar hutang, namun mereka memohon diberikan masa sehingga keadaan ekonomi kembali pulih kerana ketika ini sumber pendapatan terjejas susulan wabak pandemik COVID-19.
"Keadaan yang terjejas bukan sahaja memberi kesan kepada nasib pengusaha bas, tapi industri pengangkutan keseluruhannya dan kami tiada duit. Tapi minta kerajaan campur tangan soal moratorium," katanya.
Seorang pengusaha bas, S. Jegajeew berkata kebanyakan mereka kehilangan sumber pendapatan tetap apabila aktiviti sektor pengangkutan dan pelancongan terpalit akibat penularan wabak itu.
Katanya, beliau mempunyai 13 buah bas persiaran dan empat daripadanya masih perlu dibayar ansuran sebanyak RM40,000 sebulan, namun sejak Julai lepas, beliau tidak dapat membayar berikutan kehabisan wang simpanan.
"Kami minta sangat kerajaan campur tangan dan prihatin dengan nasib pengusaha bas persiaran kerana kini kami bukan sahaja berhadapan gulung tikar, malah kenderaan itu kemungkinan akan ditarik,” katanya menambah mereka juga mungkin terpaksa menanggung kerugian jika terpaksa menjual bas.
"Saya juga telah terima surat peguam daripada syarikat kredit kerana tunggakan yang tidak dapat dibayar malah mereka (syarikat kredit) turut mengenakan faedah sebanyak lapan peratus bagi pinjaman saya, dah la kena bayar lebih, ditambah pula kena bayar fi untuk peguam serta mahkamah, sedangkan saya tiada pendapatan langsung sekarang ini," katanya.
Seorang lagi pengusaha bas, Mahadi Izady Maharazi berkata syarikatnya menanggung hutang sebanyak RM200,000 setiap bulan untuk 10 buah bas dan empat buah van namun tiada pendapatan malah terpaksa membayar gaji 15 pekerja sejak Jun lalu.
"Kami nak minta bantuan kerajaan...kami berharap bas-bas ini akan dapat jalan balik, timbul pula masalah insurans bas kerana setiap bas harga insurans antara RM15,000 hingga RM20,000 macam mana kami nak bayar, sedangkan ansuran bulanan pun tak boleh nak bayar dan sekarang ini bas kami memang tiada insurans sebab tak bergerak.
"Kalau nak mula semula perjalanan, banyak yang tak ada duit nak beli insurans, jadi kami harap sangat kerajaan bantu dari segi "start up" balik apabila wabak COVID-19 berkurangan,” katanya.
-- BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/11/pengusaha-bas-persiaran-zon-utara-mohon.html